Semua agensi kerajaan perlu melaksanakan audit keselamatan siber bagi mengenal pasti kelemahan sistem dan infrastruktur digital masing-masing, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Gesaan itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menaikkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara daripada rendah kepada sederhana pada 4 Nov sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan keselamatan semasa.

Teo dipetik Bernama berkata audit itu penting bagi memastikan perlindungan sistem, termasuk penggunaan tembok api digital (firewall), mampu melindungi data dan menghalang pencerobohan.

“Walaupun keselamatan siber negara diterajui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia membantu agensi kerajaan melaksanakan audit itu.

“Sehubungan dengan itu, kami telah meminta MCMC untuk membantu menjalankan audit keselamatan siber bagi memastikan sistem digunakan tidak mudah diceroboh oleh penggodam,” katanya selepas menyampaikan sumbangan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada bekas jurufoto Utusan Malaysia, Azlan Bahrum, 42, yang menghidap penyakit gout dan buah pinggang kronik, di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut Teo, keperluan memperkukuh keselamatan siber turut melibatkan syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan, khususnya organisasi yang bergantung kepada Internet serta menyimpan data dalam talian.

Setiap organisasi perlu menyediakan peruntukan khusus untuk audit, termasuk pengendali infrastruktur kritikal seperti hospital dan sistem perbankan.

“Seperti manusia digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan, setiap syarikat, NGO, persatuan dan sebagainya juga perlu memberi perhatian kepada keselamatan siber,” katanya.

Polis siap siaga, risikan dakwa M'sia potensi sasaran

Teo turut mengingatkan organisasi yang melanggan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan supaya memperuntukkan sebahagian bajet untuk memperkukuh keselamatan siber.

Katanya, kejadian sistem pihak berkuasa tempatan digodam sebelum ini menunjukkan pentingnya langkah pencegahan dan perlindungan data digital.

Semalam, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata pihak berkuasa sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan ancaman keselamatan siber susulan perkembangan konflik antarabangsa, khususnya membabitkan Iran dan Amerika Syarikat.

MKN pada 4 Nov memaklumkan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) dikehendaki melaksanakan sembilan tindakan kesiapsiagaan.

Antaranya pemantauan 24 jam, pemasangan tampalan sistem, pengesahan pelbagai faktor serta pengemaskinian pelan kesinambungan perkhidmatan, selain laporan status ancaman secara mingguan kepada NACSA.

Pada 3 Nov, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat kerajaan mengadakan mesyuarat khas MKN sehari sebelumnya bagi meneliti ancaman hibrid, digital dan siber serta memperkukuh penyelarasan antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan.

Menurut teks rasmi ucapannya, perlindungan itu meliputi sektor strategik seperti tenaga, pengangkutan, kewangan dan bekalan makanan.

Anwar turut berkata Malaysia berpotensi menjadi sasaran berdasarkan maklumat risikan kerajaan, dengan merujuk kekuatan infrastruktur digital negara serta pendiriannya dalam isu antarabangsa, termasuk Palestin dan Gaza.

Di Eropah, serangan terhadap sistem penyejukan pasar raya pada awal bulan ini menyebabkan peruncit di beberapa negara terpaksa melupuskan bekalan makanan apabila suhu tempat penyimpanan tiba-tiba meningkat akibat digodam.

Di Perancis, serangan pada 2 Nov turut menjejaskan sistem pemantauan dan kawalan bilik sejuk di tiga kemudahan perkhidmatan darah EFS namun bekalan darah dilindungi selepas kakitangan memindahkannya ke tempat simpanan lain.

Platform pertukaran mata wang kripto global, Binance pula memaklumkan insiden keselamatan pada 29 Okt membabitkan kecurian aset digital bernilai kira-kira AS$6.34 bilion.

Platform itu berkata pihaknya telah menutup laluan pencerobohan penggodam yang dikenal pasti dan memperuntukkan dana bagi menanggung kesan kewangan kecurian tersebut terhadap pengguna.