Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 10 bulan ditemukan lemas pagi ini selepas hilang ketika beriadah dengan keluarganya di Dataran Sungai Jahang, Kampung Jahang, dekat Gopeng semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa, Muhammad Muiz Muhammad Luqman dijumpai pada 10.29 pagi kira-kira lima kilometer dari tempat mangsa dipercayai hanyut.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai 10 anggota bomba, 12 anggota polis serta kira-kira 30 penduduk setempat. hari ini

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pagi ini membabitkan 10 anggota bomba, 12 anggota polis serta kira-kira 30 penduduk setempat dan pengusaha aktiviti water rafting yang membantu pencarian menggunakan bot water rafting.

Dua ekor anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut digerakkan bagi membantu pencarian di sepanjang tebing sungai dari lokasi mangsa dipercayai hilang hingga Jambatan Sungai Kampar di Kuala Dipang.

Semalam, bomba menerima panggilan kejadian pada 12.06 tengah hari sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng bergegas ke tempat kejadian.

Mangsa dipercayai datang bersama-sama keluarganya dari Tronoh pada 10.30 pagi semalam ke kawasan berkenaan sebelum mangsa didapati hilang dari tempat bermain di tepi sungai sejam selepas itu.

- Bernama