Polis akan menjalankan siasatan secara terperinci berhubung sekumpulan individu bermain mercun di tengah jalan raya di Jalan Kuala Kangsar di Ipoh, seperti yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Perak Mohd Alwi Zainal Abidin berkata bagaimanapun, polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak tentang kejadian tersebut.

"Kita akan siasat kejadian ini, mereka yang terlibat dan sebagainya termasuklah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh, hari ini.

Mohd Alwi berkata pihaknya memandang serius perbuatan kumpulan individu berkenaan yang membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan tindakan itu tidak seharusnya berlaku.

"Sekiranya hendak meraikan sesuatu perayaan, perbuatan ini (bermain mercun) sepatutnya dibuat di tempat yang tidak menganggu pengguna jalan raya dan masyarakat umum," katanya.

Video berdurasi 36 saat tular sejak semalam yang memaparkan sekumpulan individu bermain mercun di tengah jalan raya sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tersebut yang disifatkan tidak bertanggungjawab kerana boleh mengundang bahaya kepada orang awam.

- Bernama