Aktivis desak IGP siasat dakwaan polis peras OKU pekak RM6,590
Aktivis masyarakat, Peter Tan menggesa Ketua Polis Negara (IGP) mengambil tindakan tegas terhadap dua anggota polis peronda yang didakwa memeras wang RM6,590 daripada seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan berusia 60 tahun.
Peter berkata, dia kecewa kerana setakat ini masih belum kelihatan sebarang tindakan konkrit daripada pihak polis berhubung dakwaan membabitkan mangsa, Fang Teik Beng, meskipun laporan polis telah dibuat dan perkara itu turut didedahkan menerusi sidang media.
Dia berkata, desakan itu disampaikan secara rasmi menerusi surat rayuan kepada IGP yang diserahkan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, hari ini.
Peter yang mengiringi mangsa ke Bukit Aman berkata, campur tangan pihak tertinggi polis diperlukan bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya dakwaan itu terbukti.
"Saya berpendirian bahawa tanggungjawab utama pihak polis adalah untuk melindungi rakyat, khususnya golongan yang lemah dan memerlukan perlindungan, bukannya membiarkan segelintir anggota yang tidak berintegriti menyalahgunakan kuasa untuk mengugut dan memeras wang daripada orang awam yang tidak bersalah.
"Sekiranya dakwaan ini terbukti benar, perbuatan memperlakukan seorang individu yang pekak dan tidak boleh bertutur sejak kecil sedemikian rupa amatlah keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.
"Pihak polis sama sekali tidak boleh berkompromi dengan mana-mana anggota yang menyalahgunakan kuasa sehingga mencemarkan nama baik dan imej pasukan polis," katanya kepada media ketika ditemui di Bukit Aman, hari ini.
Turut serta menyerahkan surat rayuan berkenaan adalah peguam yang mewakili mangsa, Tan Chak Seng.
Surat berkenaan diserahkan kepada seorang pegawai IGP.
Fang didakwa diperas ugut oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan pada 6 Oktober lalu dalam kejadian di Taman Muda, Ampang.
Susulan itu laporan polis telah dibuat terhadap dua anggota polis berkenaan, bagaimanapun sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil.
Sementara itu, Peter menegaskan, polis tidak seharusnya berkompromi sekiranya terdapat anggota yang terbukti menyalahgunakan kuasa, apatah lagi perbuatan sedemikian boleh menjejaskan imej dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi berkenaan.
"Rakyat mengharapkan anggota polis yang jujur, profesional dan boleh dipercayai, bukannya individu yang mempergunakan pakaian seragam serta kuasa yang diberikan untuk menindas rakyat dan meminta wang secara tidak sah," katanya.
Sehubungan itu, dia turut menggesa polis memberikan penjelasan segera berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.
Katanya, mangsa tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya mahukan siasatan yang adil, saksama dan telus.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/56453453_789204.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.