Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi, di Kuala Lumpur bagi mengkaji semula perintah pelepasan membabitkan Najib Tun Razak yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah.

Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar berkata perkara itu berdasarkan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 6 Nov lepas.

"AGC memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi hari ini untuk mengkaji semula dan meneliti kembali perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 Nov dan untuk suatu perintah pelepasan yang baharu supaya selaras dengan perintah pengampunan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 Sept lepas," katanya kepada media menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Mohd Dusuki Mokhtar, Peguam Negara

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Aslam Zainuddin pada 2.30 petang ini.

Pada 6 Nov, Najib membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap beliau dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi.

Pada tarikh sama, AGC dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara sehingga selesai penelitian dan penjelasan lanjut tentang interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat, serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi selepas bayaran denda RM50 juta dilunaskan.

AGC memaklumkan sepanjang tempoh penangguhan, Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk pada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.

Pada 7 Nov, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Bekas perdana menteri, Najib Razak di mahkamah sekitar September lalu

Sultan Ibrahim bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap Najib.

Pembayaran RM50 juta itu adalah antara syarat pengampunan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 Sept, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

- Bernama