Walaupun Najib Razak sudah kembali ke rumahnya di Jalan Langgak Duta, kata Pemuda PKR (AMK) Malaysia, ada fakta yang tidak berubah dan tidak wajar dilupakan oleh orang ramai.

Naib Ketua AMK Malaysia, Nabil Halimi, berkata jasad bekas perdana menteri itu memang sudah lepas dari sel di Penjara Kajang sejak semalam.

Namun, katanya, hanya lokasi tahanan Najib yang berubah.

“Yang dipinda ialah perintah pelaksanaan hukuman, bukannya sabitan jenayah Najib.

“Rumahnya mungkin kini menjadi tempat menjalani hukuman, tetapi sabitan bersalah Najib sebelum tidak berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Pekan itu akhirnya kembali ke rumahnya di Jalan Langgak Duta di pinggir pusat kota raya semalam selepas tergendala sebentar pada 6 Nov lalu gara-gara kekeliruan dokumen yang dikeluarkan mahkamah.

Najib menjalani hukuman penjara selepas mahkamah mendapati dia bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan RM42 juta dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC). Dia asalnya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Namun Najib mendapat dua kali keringanan melalui Lembaga Pengampunan Wilayah Persetujuan, masing-masing memendekkan tempoh penjara kepada enam tahun, dan pengurangan denda kepada RM50 juta; serta keizinan menghabiskan tempoh penjara di rumahnya.

Namun untuk rekod Najib juga sudah disabitkan bersalah atas 25 pertuduhan lain – membabitkan kes 1MDB – Tanore. Ahli politik berusia 73 tahun itu dihukum penjara 15 tahun dan denda keseluruhan RM11.38 bilion.

Kes itu sedang dalam proses rayuan.

Jika tiada perubahan, hukuman penjara bagi kes 1MDB – Tanore akan berjalan selepas tempoh penjara ke atasnya terkait kes SRC tamat pada Ogos 2028.

Nabil berkata masyarakat khususnya penyokong Najib tidak sepatutnya terlalu ghairah meraikan kepulangan anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu sehingga melupakan hakikat bahawa dia sudah disabitkan bersalah.

“Kita menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, keputusan lembaga pengampunan dan proses kehakiman, tetapi penghormatan itu tidak bermaksud kita perlu memutihkan rekod jenayah rasuah,” katanya lagi.