Kamaruddin Mohd Noor digugurkan daripada barisan exco Kelantan
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Lanas Kamaruddin Mohd Noor, tidak disambung pelantikan sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Kelantan berkuat kuasa 9 Nov.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan berkata keputusan itu, mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Beliau berkata susulan keputusan itu, dua portfolio yang sebelum ini disandang Kamaruddin akan diagihkan kepada dua exco sedia ada, bagi memastikan kelancaran urusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Portfolio Pelancongan dan Kesenian akan dipangku Exco Hilmi Abdullah, manakala portfolio Warisan dan Kebudayaan akan dipangku Exco Zamakhsyari Mohamad. Keputusan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kamaruddin atas segala khidmat serta sumbangan beliau, sepanjang menganggotai barisan Exco Kelantan.
Kerajaan negeri turut menghargai komitmen dan dedikasi beliau dalam melaksanakan amanah yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Semalam, media melaporkan Kamaruddin mengesahkan menerima surat penamatan pelantikannya sebagai exco.
Bagaimanapun, beliau yang menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan enggan mendedahkan kandungan surat berkenaan, buat masa ini.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/1101/ab0c8377ddb86b496a9939fa5965e5ae.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.