Berdasarkan warta berkenaan, kawasan yang diisytiharkan itu merangkumi semua bangunan dan kawasan tanah seluas 4,558.975 meter persegi di No. 11, Jalan Langgak Duta yang terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur.

Persoalan sama ada isteri dan ahli keluarga Najib Razak boleh tinggal bersama bekas perdana menteri itu sepanjang tempoh dia menjalani baki hukuman penjara di rumahnya atau tidak, masih menjadi tanda tanya.

Malah, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, turut mengakui bahawa mereka belum mengetahui syarat sebenar berhubung perkara berkenaan.

Muhammad Shafee berkata pihaknya belum mendapat sebarang kepastian sama ada Najib boleh ditemani oleh ahli keluarganya di kediaman tersebut atau bersendirian seperti dalam sel di Penjara Kajang.

Turut tidak dapat dipastikan, kata Shafee, ialah bagaimana prosedur untuk pelawat bertemu dengan Najib.

“Saya tidak tahu. Saya membayangkan mungkin ada ahli keluarga yang dibenarkan (tinggal bersama), tetapi mungkin juga tidak. Kami tak tahu,” katanya kepada pemberita selepas mengadiri prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Kenyataan itu bagaimanapun berbeza dengan penjelasan Exco Wanita Umno yang juga anak kepada Presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid, yang mendakwa keluarga Najib tidak akan tinggal bersama sepanjang tempoh tahanan rumah.

Menjawab pertanyaan pengguna media sosial mengenai keluarga atau cucu Najib boleh melawatnya, Nurulhidayah berkata, kediaman di Langgak Duta itu - merangkumi semua bangunan dan tanah seluas 4,558.975 meter persegi (49,072.4 kaki persegi) - telah diwartakan sebagai penjara.

Justeru, katanya, mengikut konsep tersebut sesuatu pemenjaraan tidak membolehkan isteri dan anak-anak tinggal bersama banduan.

“Anak bini dia bukan tinggal sekali. DSR (Datin Seri Rosmah Mansor) duduk Pavilion (kediaman lain mereka yang terletak di Kuala Lumpur).

“Kalau nak melawat pun ada masa lawatan yang ditetapkan seperti orang (lain) di dalam penjara,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Gambar fail menunjukkan Rosmah hadir di mahkamah pada 30 Okt 2024.

Nurulhidayah turut menjelaskan bahawa makanan dan minuman Najib sepanjang menjalani tahanan rumah akan ditentukan oleh pihak penjara.

Terdahulu anak Ahmad Zahid Hamidi itu menjawab pertanyaan pengguna media sosial mengenai kemungkinan Najib, 73, boleh menerima makanan dari luar menerusi perkhidmatan penghantaran seperti Foodpanda.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dijangka memberikan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan dan syarat tahanan rumah Najib di Dewan Rakyat esok.

Saifuddin dilaporkan memberi jaminan bahawa persoalan berkaitan sekatan yang dikenakan, termasuk sama ada ahli keluarga boleh tinggal bersama Najib dan kebenaran menerima kunjungan pelawat, akan diperincikan di Dewan Rakyat nanti.

Katanya penjelasan itu penting memandangkan kediaman Najib di Langgak Duta telah diisytiharkan sebagai penjara di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Nov memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah di kediaman berkenaan sehingga 23 Ogos 2028.

Najib asalnya dibawa ke kediaman tersebut pada 6 Nov lalu namun tergendala ekoran isu dokumen pelepasan yang mendapat perhatian Jabatan Peguam Negara dan meminta ia diperjelaskan di mahkamah.

Selepas proses mahkamah berlangsung semalam, Najib akhirnya kembali ke kediaman berkenaan menjelang 9.30 malam tadi dari Penjara Kajang.