Bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan memberi sepenuh tumpuan kepada tanggungjawabnya sebagai Setiausaha Agung DAP serta menjalankan tugas sebagai anggota parlimen, susulan peletakan jawatannya yang berkuat kuasa semalam.

Loke berkata buat masa ini DAP belum membincangkan calon bagi mengisi portfolio yang dikosongkannya dan menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk diputuskan.

"Ya, serahkan (kepada Perdana Menteri). Jadi, perkara ini di bawah bidang kuasa Perdana Menteri. Kita akan berbincang dengan beliau nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Loke tiba di pekarangan lobi MOT pada 10.04 pagi bagi menghadiri majlis perhimpunan berkenaan buat kali terakhir, selepas peletakan jawatannya berkuasa kuasa semalam.

Tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, yang berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, Loke turut menegaskan beliau akan terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Anwar dalam Kerajaan Perpaduan di bawah PH.

Ditanya sama ada beliau mempunyai perancangan untuk kembali memegang jawatan menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Loke berkata perkara itu hanya akan dijawab selepas PRU berkenaan selesai.

Loke sebelum ini menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri pada 28 Sept lepas, susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.

Anggota Parlimen Seremban itu berkhidmat dalam Jemaah Menteri pimpinan Anwar sejak Disember 2022,

- Bernama