Tewas teruk di tanah air, Trump bakal pamer kekuatan dalam siri jelajah Asia
Selepas partinya mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya pertengahan penggal, Presiden Donald Trump berdepan cabaran baharu: membuktikan dia masih lagi peneraju utama dasar luar Amerika Syarikat (AS) di pentas global.
Dengan kedudukan politiknya yang kini terikat ketika memasuki tempoh dua tahun terakhir pentadbirannya di Rumah Putih, para pemimpin dunia mungkin secara senyap-senyap sedang memikirkan cara untuk memanfaatkan imbangan kuasa baharu di Washington.
AFP melaporkan pemimpin Republikan berusia 80 tahun itu berlepas ke sidang kemuncak Asean di Filipina dan sidang kemuncak Apec di China dalam suasana landskap politik domestik yang berubah secara drastik dan penuh permusuhan, selepas Demokrat merampas penguasaan di Dewan Perwakilan serta Senat.
/file/attachments/orphans/POTUS1_596784.jpg)
Memandangkan perlembagaan menghalangnya daripada bertanding untuk penggal ketiga dalam pilihan raya presiden 2028, bilionair yang sukar diramal itu berkemungkinan lebih cenderung menumpukan tenaganya di pentas antarabangsa.
"Selepas keputusan pilihan raya pertengahan penggal yang buruk, inilah cara presiden menetapkan semula kedudukan mereka," kata pakar di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Edgard Kagan dalam satu taklimat media.
Perkara itu amat bertepatan bagi Trump dalam siri jelajah Asia, kerana dia tidak mungkin ditekan secara terbuka mengenai isu politik dalaman negara.
China menyifatkan pilihan raya pertengahan penggal itu sebagai "urusan dalaman" dan menyatakan ia "bersedia untuk terus bekerjasama" dengan AS selepas Republikan kehilangan penguasaan di kedua-dua dewan Kongres.
Namun, peralihan kuasa di Washington itu tetap berada dalam radar para pemimpin serantau, kata pakar Asia Tenggara dan Asia Selatan di Majlis Hubungan Luar Negeri, Joshua Kurlantzick.
"Secara peribadi, ramai pemimpin (Asia) berasa lega," tulis Kurlantzick dalam satu artikel bulan ini.
"Perang Iran amat mencabar bagi rakan kongsi dan sekutu AS di Asia, dan mereka berharap selepas keputusan pilihan raya pertengahan penggal ini, proses membuat keputusan Presiden AS Donald Trump berhubung isu tersebut akan menjadi lebih mudah diramal."
Trump beberapa kali menyatakan sejak pilihan raya pertengahan penggal berakhir bahawa pertempuran baharu antara AS dan Iran tidak mungkin berlaku.
/file/attachments/orphans/image4_242937.jpeg)
Kongres yang dikuasai Demokrat juga boleh mengambil pendirian lebih tegas terhadap China, tambah Kurlantzick, sekali gus membatalkan "pendekatan lembut" pentadbiran Trump terhadap Beijing yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan sekutu AS di Asia.
AFP juga melaorkan para pemimpin di benua terbesar dunia itu juga berharap dapat melihat Demokrat menentang lambakan tarif Trump ke atas rakan dagang, yang menjejaskan ekonomi Asia yang amat bergantung kepada eksport.
Ketua Demokrat di Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries menggesa Kongres untuk menegaskan semula kuasanya ke atas dasar perdagangan AS.
Bagaimanapun, Demokrat tidak akan berdepan laluan mudah untuk membatalkan dasar-dasar Trump.
Presiden mempunyai kuasa luas ke atas hal ehwal perdagangan serta memegang kuasa veto terhadap perundangan Kongres — yang dia berikrar akan gunakan.
Pertemuan berprofil tinggi
Trump gemar membuat tindakan dramatik, dan dasar luar menyediakan gelanggang terbaik untuk pertemuan berprofil tinggi, seperti pertemuan dengan pemimpin China dan Rusia, Xi Jinping serta Vladimir Putin.
Trump memberitahu pemberita minggu ini bahawa dia menjangkakan akan bertemu Xi dan Putin pada sidang kemuncak Apec di Shenzhen, China, yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 19 November.
Presiden itu berkata "penyahnuklearan" dan usaha menamatkan perang di Iran akan menjadi antara agenda perbincangan.
Namun, matlamat lebih besar bagi Trump mungkin sekadar mahukan sekeping gambar dirinya berdiri bersama dua lagi pemimpin yang dianggap setaraf dengannya sebagai kuasa besar, kata pengerusi The Asia Group merangkap diplomat kanan semasa pentadbiran Biden, Kurt Campbell.
"Saya fikir dalam banyak aspek, ini boleh dianggap sebagai 'pertemuan itu sendiri adalah mesejnya'," kata Campbell.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, yang menyaksikan dengan penuh kebimbangan apabila Rumah Putih dilihat mula beralih arah mendekati Moscow tahun ini, memberi amaran terhadap berulangnya "Yalta 2.0", merujuk kepada tindakan pemimpin Barat membahagikan Eropah bersama Kesatuan Soviet pada 1945.
Presiden geopolitik dan dasar luar merangkap pengerusi Korea di CSIS, Victor Cha berkata kekalahan Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal menjadikan pertemuan berprofil tinggi itu jauh lebih berkemungkinan untuk berlaku.
"Satu perkara yang dia (Trump) secara peribadi pertaruhkan banyak masa sepanjang dua penggal pentadbirannya ialah isu Korea Utara," kata Cha.
"Tiada individu lain dalam kerajaan AS yang menggubal dasar mengenai Korea Utara kecuali presiden, jadi saya fikir dia akan menumpukan perhatian kepada isu legasi seperti itu."
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/POTUS12_636745.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.