Anwar: Hanya tauke besar mahu GST untuk alih beban cukai
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mendakwa hanya golongan tauke dan peniaga besar menyokong pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana sistem percukaian itu membolehkan beban cukai dialihkan kepada pengguna.
Anwar berkata perkara itu antara kebimbangannya terhadap pelaksanaan semula GST, selain mengambil kira tekanan kos sara hidup yang masih ditanggung rakyat.
Menjawab soalan Awang Hashim (PN-Pendang) di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata walaupun GST mempunyai kelebihan dari segi mengawal kegiatan ekonomi gelap (black economy), pelaksanaannya boleh menyebabkan beban cukai turut ditanggung golongan pengguna.
"Kalau tengok dalam perbincangan, semua tauke dan peniaga besar nak GST.
"Nak GST, mesti ada alasan. Mudah bagi dia. Jadi, supaya cukai itu dialihkan, tak payah kenakan dia, kenakan (cukai) di peringkat bawahan.
"Itu saya punya masalah besar," katanya.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan perlu mengambil kira kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan sebelum mempertimbangkan sistem percukaian berkenaan.
/file/attachments/orphans/gstgeneric111_335320.png)
Menurutnya, kelemahan penguatkuasaan dalam sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) boleh menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan menetapkan harga bagi mengawal kenaikan harga susulan pelaksanaan cukai tersebut.
Anwar turut mengakui GST mempunyai kelebihan dari segi ketelusan pemantauan harga kerana cukai dikenakan pada setiap peringkat rantaian bekalan.
Namun, katanya, pelaksanaan GST turut memberi kesan kepada pengguna kerana cukai itu boleh dikenakan terhadap pelbagai barangan dan perkhidmatan.
"Bila kita terangkan, kita kata GST itu, maka automatik semua.
"Petani Pendang, walaupun direct kita kata gula tak kena, beras tak kena, tetapi yang lain semua pun kena.
"Jadi, bagi saya ini juga satu permasalahan conscience (hati nurani)," katanya.
Terdahulu, Awang berkata GST berpotensi mengurangkan kegiatan ekonomi gelap kerana cukai dikenakan secara menyeluruh dari peringkat pengeluaran hingga kepada pengguna akhir.
/file/attachments/orphans/parliament5_500580.png)
Dia turut berpandangan sistem SST mempunyai kelemahan kerana cukai dikenakan pada peringkat awal kepada peniaga, sekali gus membuka ruang kepada manipulasi harga sebelum barangan sampai kepada pengguna.
Anwar berkata kerajaan sedia meneliti sebarang kertas cadangan yang dikemukakan bagi mempertahankan pelaksanaan GST, namun setakat ini kerajaan berpendirian cukai itu tidak sesuai diperkenalkan semula.
Katanya, perkara berkenaan turut dibincangkan dalam dialog belanjawan, dengan wakil persatuan dan dewan perniagaan besar menyuarakan sokongan terhadap pelaksanaan GST.
"Saya ambil masa terangkan, saya kata serta percukaian peringkat ini, janganlah bebankan rakyat dengan kos sara hidup, masalah-masalah.
"Itu sebabnya saya rayu supaya mereka faham mengapa GST tak boleh diperkenalkan sekarang," katanya.
Malaysia memperkenalkan GST pada kadar enam peratus pada 1 April 2015 bagi menggantikan sistem SST ketika itu.
Bagaimanapun, GST dimansuhkan pada 1 Jun 2018 selepas pertukaran kerajaan susulan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14, sebelum SST diperkenalkan semula pada 1 September tahun sama.
GST merupakan cukai penggunaan pelbagai peringkat yang dikenakan sepanjang rantaian bekalan, manakala SST mengenakan cukai jualan pada peringkat tertentu dan cukai perkhidmatan terhadap perkhidmatan bercukai.
Perdebatan mengenai pelaksanaan semula GST terus menjadi perhatian susulan desakan beberapa pihak yang berpendapat sistem itu lebih telus, meluaskan asas kutipan cukai dan mampu mengurangkan ekonomi bayangan.
Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Anwar setakat ini mengekalkan SST dan menolak pelaksanaan semula GST dalam keadaan semasa, dengan alasan tidak mahu menambah beban kepada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/anwar13_990325.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.