Hubungan ekonomi Malaysia-Taiwan kekal kukuh dan tidak terjejas, dengan Malaysia terus menerima pelaburan dari Taiwan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Taiwan merupakan rakan dagang yang penting dan kerajaan mahu memastikan hubungan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan kedua-dua pihak kekal baik.

“Kita masih terus menerima pelabur dan hingga ke tahun ini import dan eksport melonjak sangat tinggi,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Anwar menegaskan bahawa tiada rundingan (perdagangan) antara Malaysia dan Taiwan, bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa hubungan ekonomi kedua-dua pihak dilaksanakan menerusi jawatankuasa kerjasama ekonomi.

Terdahulu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) bertanya kepada Perdana Menteri mengenai laporan Taiwan menggantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataannya yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian dari China, serta implikasinya terhadap perdagangan dan pelaburan dua hala.

Anwar berkata kerajaan telah meminta supaya mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi Malaysia-Taiwan (MTECC) yang ditangguhkan, diteruskan.

Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan MTECC pada 2016.

Anwar turut menjelaskan bahawa bagi sembilan bulan pertama 2026, perdagangan dua hala Malaysia-Taiwan telah berkembang 47.1 peratus tahun ke tahun kepada RM254.21 bilion.

Eksport Malaysia ke Taiwan pula melonjak 88 peratus kepada RM116.58 bilion, manakala import dari Taiwan meningkat 24.2 peratus kepada RM137.63 bilion.

Dari segi pelaburan, sebanyak 1,737 projek pembuatan dengan penyertaan Taiwan telah dilaksanakan sehingga Jun 2026, merangkumi pelaburan bernilai RM34.3 bilion.

Projek berkenaan mewujudkan 234,660 peluang pekerjaan di seluruh negara, sekali gus meletakkan Taiwan sebagai pelabur ke-10 terbesar di Malaysia.

Anwar berkata dalam hal ini kerajaan terus mengalu-alukan serta memudah cara pelaburan dari Taiwan, terutamanya dalam bidang semikonduktor dan cip.

“Setakat ini belum ada petanda pelabur Taiwan berundur atau enggan melabur di Malaysia, manakala kerjasama pada peringkat jawatankuasa terus dilaksanakan.

“Hubungan perdagangan dan pelaburan itu perlu dibezakan daripada hubungan diplomatik, selaras dengan pendirian Malaysia terhadap Dasar Satu China sejak 1974,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata kerajaan akan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan kekal baik tanpa mengorbankan pendirian dasar luar negara.

Menjawab soalan tambahan lain berhubung dakwaan penyusutan hampir 10 peratus di Bursa Malaysia pada November yang dikaitkan dengan isu Taiwan, Anwar berkata saham-saham elektrik dan elektronik, kecerdasan buatan (AI) serta pusat data sememangnya mencatatkan penurunan dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata penurunan itu juga berlaku di negara-negara lain, manakala prestasi saham yang berkaitan dengan teknologi di Malaysia tidak terjejas seteruk di beberapa negara berkenaan.

Beliau turut merujuk perkembangan melibatkan Nvidia dalam beberapa hari kebelakangan ini juga memberi kesan kepada saham-saham berkenaan.

- Bernama