Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan sesi libat urus bagi meneliti kemungkinan menaikkan had umur minimum perkahwinan umat Islam kepada 18 tahun susulan langkah yang telah diambil Selangor dan Kedah.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata sesi libat urus itu akan diadakan terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan dan menilai kebolehlaksanaan cadangan berkenaan di negeri ini.

"Setakat ini perancangan ke arah itu belum dibincangkan, mungkin kita akan mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu untuk melihat kebarangkalian pelaksanaannya di Pulau Pinang atau sebaliknya.

"Sesi libat urus itu turut membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum sebarang keputusan atau perkembangan lanjut diumumkan," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Antara Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Idrissi International School di George Town dan turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YIPP Dr Mohamad Sofee Razak sefta Pengasas Idrissi Zaliza Alias.

Mengulas mengenai had umur minimum perkahwinan umat Islam yang berkuat kuasa di Pulau Pinang ketika ini, Mohamad berkata ia masih ditetapkan pada usia 16 tahun.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat dan pandangan daripada pihak berkaitan menerusi sesi libat urus itu sebelum mempertimbangkan langkah selanjutnya.

Ketika ini, hanya dua negeri iaitu Selangor dan Kedah telah meminda peruntukan undang-undang berkaitan umur minimum perkahwinan orang Islam kepada 18 tahun, manakala negeri lain masih tertakluk kepada pertimbangan dan proses perundangan masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata kerajaan menerusi kementeriannya akan terus berusaha menyelaraskan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun di seluruh negara secara berperingkat melalui kerjasama rapat dengan kerajaan negeri.

Beliau dilaporkan berkata usaha itu memerlukan libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri, agensi berkaitan dan pihak berkepentingan memandangkan hal ehwal undang-undang keluarga Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri.

- Bernama