Golongan belia masyarakat India di negara ini mendakwa mereka berdepan diskriminasi sejak di bangku persekolahan, malah pengalaman itu berterusan sehingga melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi dan memasuki alam pekerjaan.

Bagaimanapun, aktiviti seni dan sukan telah membuka "ruang selamat" kepada kumpulan belia ini daripada diskriminasi.

Perkara itu antara dapatan utama kajian Iman Research: Kami Orang Sini Juga berhubung Indian Youth dan Democratic Belonging.

Kajian yang dilakukan di Semenanjung tanah air membabitkan responden belia India berusia antara 18 hingga 35 tahun yang dimulakan pada Jun tahun lalu, manakala kerja lapangan secara rasmi dijalankan oleh badan bebas itu sejak Ogos sehingga sekitar April tahun ini.

Bagi menjayakan kajian ini, penyelidik telah menjelajah ke seluruh Semenanjung tanah air termasuk Kelantan dan Terengganu bagi bertemu responden belia masyarakat India yang berada di luar Lembah Klang.

Meskipun belia di Kelantan dan Terengganu kurang diberi perhatian, namun dalam kajian lapangan Iman Research, pandangan mereka tidak diketepikan.

Hasil penyelidikan ini dibentangkan wakil penyelidik Shaleen Surendra dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Shaleen ketika ditemui berkata, hasil kajian mereka mendapati diskriminasi yang dialami golongan berkenaan berlaku pada hampir setiap peringkat kehidupan bermula di sekolah apabila menerima layanan berbeza daripada rakan sebaya dan guru.

Malah, masalah berkenaan dikatakan berterusan sehingga ke alam dewasa, khususnya ketika mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal.

“Proses pengambilan pekerja juga dilihat tidak jelas dan menimbulkan ketidakpastian, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya.

Mengulas punca diskriminasi, dia berpandangan keadaan itu terhasil daripada gabungan persepsi masyarakat yang diwarisi sejak turun-temurun serta permainan sentimen perkauman dalam arena politik negara, khususnya dalam usaha menarik sokongan kaum-kaum tertentu.

Shaleen Surendra, Wakil Penyelidik

Namun, dapatan kajian itu menunjukkan aktiviti seni tarian dan sukan telah membentuk ruang selamat kepada golongan belia India di negara ini daripada diskriminasi.

Dapatan kajian menunjukkan responden berpendapat sekolah tarian membuka ruang kepada mereka untuk mempelajari instrumen muzik serta tarian merentasi kaum, selain tidak mengehadkan kepada dominasi gender.

Bagi kebanyakan responden lelaki yang ditemui pula melihat sukan sebagai medium untuk membina hubungan dengan komuniti di luar lingkungan masyarakat India.

"Selain sekolah tarian, sukan turut menjadi alternatif kepada golongan belia yang kurang kecenderungan dalam bidang akademik," menurut kajian itu lagi.