Greenpeace mahu kerajaan Malaysia menggubal Akta Udara Bersih bagi memastikan individu dan syarikat tempatan bertanggungjawab sekiranya mereka didapati menyumbang kepada pencemaran jerebu di luar negara.

Gesaan itu dibuat susulan langkah terbaharu Parlimen Singapura memperketatkan undang-undang antijerebunya dengan kuasa penangkapan, denda lebih tinggi, serta potensi sekatan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan pencemaran udara merentas sempadan akibat kebakaran hutan.

Cadangan pindaan yang bertujuan memperkasakan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan 2014 republik itu menyusuli kebimbangan negara jiran terhadap kualiti udara tidak sihat akibat jerebu tebal daripada kebakaran di Sumatera dan Borneo, Indonesia.

Menteri Singapura Vivian Balakrishnan (berbaju merah) berjumpa dengan Presiden Prabowo (kanan)

Mengakui pendirian tegas Malaysia yang mahu menangani isu berkaitan jerebu melalui saluran diplomatik, wakil sementara Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun berhujah bahawa pendekatan sedemikian boleh berjalan seiring dengan langkah perundangan yang ditambah baik.

“Kita sudah menggunakan cara kerja Asean selama lebih 20 tahun - kita perlu melakukan lebih daripada itu,” pada sidang media secara maya bersama kumpulan alam sekitar dan penyelidik lain hari ini.

“Singapura membuktikan kedua-duanya (kaedah) boleh wujud bersama - kita boleh menggubal undang-undang sambil tetap meneruskan kerjasama dalam kalangan negara Asean.

“Jika kita hanya fokus kepada diplomasi, kita tidak dapat menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.

Tambahnya, Akta Udara Bersih itu perlu memastikan syarikat yang berpangkalan di Malaysia atau mempunyai kaitan dengan negara ini mendedahkan maklumat mengenai pemilik benefisial, struktur korporat, lokasi konsesi, insiden kebakaran serta pematuhan terhadap komitmen alam sekitar.

Menegaskan bahawa undang-undang sedemikian akan memberi ruang kepada syarikat untuk mencabar dakwaan berhubung peranan mereka dalam kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu, Heng turut menggesa pihak berkuasa menjalankan usaha wajar (due diligence) terhadap syarikat perladangan dan perhutanan yang sebelum ini dikenal pasti didakwa menyumbang kepada krisis tersebut.

Dia mengakui bahawa walaupun pemimpin kerajaan Malaysia berulang kali mendakwa tiada bukti konklusif yang mengaitkan syarikat tempatan dengan kebakaran di Indonesia yang menyebabkan jerebu merentas sempadan selama berbulan-bulan, penemuan penyelidikan bebas secara konsisten menunjukkan sebaliknya.

Keadaan jerebu di Kuala Lumpur sekitar September lalu

Malaysia pada masa ini tidak mempunyai Akta Udara Bersih, sebaliknya hanya bergantung kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang melarang pembakaran terbuka serta memperuntukkan hukuman denda dan penjara.

Di bawah akta sama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 mengawal selia pelepasan asap daripada premis perindustrian dan perdagangan.

Bagaimanapun, kedua-dua perundangan itu tidak dirangka untuk menjangkau tindakan syarikat berkaitan Malaysia di luar negara.

Dalam mengesahkan pendekatan mengutamakan diplomasi oleh Malaysia, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh memberitahu Dewan Rakyat minggu lalu bahawa tindakan Singapura mengakibatkan “sedikit ketegangan” dalam hubungan dua hala mereka dengan republik itu.

Walaupun timbalan menteri itu tidak merujuk kepada mana-mana tindakan khusus Singapura, negara pulau tersebut sebelum ini memberi amaran kepada firma perniagaan tani utama yang berpangkalan di Singapura yang sedang disiasat kerana kaitan mereka dengan kebakaran punca jerebu.

Namun, Syed Ibrahim turut mengakui di Parlimen ketika itu bahawa Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) mempunyai “batasan” kerana tidak menyediakan mekanisme untuk penguatkuasaan antara negara atau tuntutan pampasan.