Belia India mahu politik berasas kaum dihentikan, gesa k'jaan utamakan hasil
Belia India di Malaysia yang ditemu bual oleh Iman Research mahu kerajaan beralih daripada politik berasaskan kaum kepada tadbir urus yang mengutamakan hasil dan keberkesanan.
Dalam laporan bertajuk “Kami Orang Sini Juga: Indian Youth and Democratic Belonging” yang dilancarkan semalam, golongan muda yang ditemu bual berkata tindakan simbolik sahaja tidak mencukupi untuk mendapatkan kepercayaan politik masyarakat India.
Sebaliknya, mereka berkata kerajaan perlu mendapatkan kepercayaan masyarakat melalui pembaharuan dasar sebenar dan layanan yang adil dalam institusi, bukannya sekadar memenuhi kuota perwakilan atau memberikan bantuan bermusim.
Sebagai contoh, seorang responden dari Melaka menyifatkan pelantikan Naib Presiden PKR, R Ramanan sebagai Menteri Sumber Manusia pada 2025 sebagai langkah untuk kepentingan politik, bukannya usaha yang benar-benar ikhlas.
Responden itu berkata: "Saya rasa mereka melakukan rombakan kerana mahu mendapatkan undi masyarakat India... Sebelum ini, tiada rancangan untuk melakukan rombakan. Mengapa baru sekarang?"
/file/attachments/orphans/ramanan1_344701.png)
Seorang lagi responden berkata pemberian jawatan atau perwakilan sekadar memenuhi tuntutan masyarakat bukan masalah satu-satu kerajaan sahaja, sebaliknya perkara yang berulang di bawah pentadbiran berbeza.
Keadaan itu kadangkala menyebabkan wakil masyarakat India yang lebih muda tidak diberikan kuasa sebenar dalam struktur kepimpinan.
Seorang belia berkata: "Sejujurnya, saya langsung tidak kisah tentang perwakilan. Saya rasa kita perlu bergerak ke hadapan dan perbincangan mengenai politik tidak sepatutnya lagi tertumpu kepada soal perwakilan.
"Apa yang paling saya pentingkan ialah sama ada mereka benar-benar menjalankan tugas dan mampu melaksanakan tanggungjawab mereka. Itulah perkara yang paling saya nilai."
Mereka turut menyuarakan jurang berterusan antara kerajaan dengan realiti kehidupan harian masyarakat India, termasuk ketidakstabilan ekonomi, halangan dalam pendidikan dan kelembapan perubahan dalam institusi.
Bantuan bermusim menjelang pilihan raya
Belia terbabit turut mengkritik apa yang disifatkan sebagai kitaran bantuan "musim mengundi", iaitu keadaan apabila perhatian kerajaan dan pemberian bantuan kewangan meningkat ketika musim perayaan atau menjelang pilihan raya, tetapi kembali berkurangan selepas itu.
Mereka mengakui bantuan sementara dan pemberian hamper sempena perayaan dapat membantu keluarga berpendapatan rendah. Namun, mereka menegaskan bantuan bermusim itu tidak menyelesaikan masalah asas yang dihadapi masyarakat.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/9c247a7d13e6986451a4b52df9d560b1.jpg)
Seorang responden berkata: "Masyarakat India biasanya hanya mendapat bantuan ketika perayaan seperti Deepavali atau Thaipusam, dan selalunya dikaitkan dengan undi.
"Mengapa tidak mula memberikan bantuan pada awal tahun dan bukannya menunggu musim mengundi? ... Saya tidak mahu lagi melihat kitaran bantuan 'musim mengundi' ini kerana ia berlaku di seluruh negara."
Apa yang dilakukan Mitra?
Selain menolak pemberian jawatan sekadar memenuhi tuntutan masyarakat, responden turut mengkritik Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), agensi yang ditubuhkan khusus untuk membantu masyarakat India.
Walaupun menerima peruntukan tahunan RM100 juta yang kemudian dinaikkan kepada RM150 juta, responden masih mempersoalkan keberkesanan agensi itu.
Penyelidik turut mendapati ramai belia tidak mendapat maklumat mencukupi mengenai fungsi Mitra. Malah, ramai yang langsung tidak mengetahui kewujudan program geran yang ditawarkan agensi itu.
"Saya tidak tahu bagaimana mereka (Mitra) beroperasi. Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang mereka lakukan," kata seorang responden.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/0bfb17394212e45f50074e633c32d5dd.jpg)
Seorang lagi responden yang pernah menghubungi Mitra berkata: "Bagi saya, Mitra tidak berguna kerana saya sudah memohon dan turut membantu orang lain membuat permohonan... tetapi sehingga hari ini, selepas tiga tahun, masih tiada apa-apa.
"Ada yang sudah menunggu selama tujuh tahun."
Bagaimanapun, beberapa responden lain memberikan pandangan positif terhadap Mitra, terutama berhubung usaha agensi itu menyediakan latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerja.
Seorang responden berkata: "Sebenarnya, mereka ada menyediakan bantuan. Seorang saudara saya kehilangan pekerjaan dan Mitra menawarkan kursus.
"Kursus itu membantunya meningkatkan kemahiran dan mendapatkan pekerjaan baru,"katanya.
Kekurangan peluang pendidikan
Responden turut berkata walaupun kerajaan telah memperluas peluang pendidikan untuk belia India, usaha itu masih terikat dengan kuota kemasukan matrikulasi 90:10 yang memihak kepada bumiputera berbanding bukan bumiputera.
Menurut mereka, keadaan itu menyebabkan pelajar India berprestasi tinggi daripada keluarga kurang berkemampuan sering gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi awam.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/10/817dd182433d41d9c95a94a93c69e605.jpg)
Seorang pelajar berkongsi pengalamannya: "Saya memohon masuk matrikulasi tetapi tidak berjaya, sedangkan pelajar yang mendapat keputusan lebih rendah diterima. Saya sangat terkejut.
"Baru-baru ini pun, rakan saya yang mendapat semua A+ tidak berjaya memasuki matrikulasi, sedangkan pelajar Melayu mudah diterima hanya kerana sistem kuota."
Bagi mengatasi masalah itu, responden mencadangkan beberapa pembaharuan penting untuk memastikan sistem sedia ada lebih adil.
Antaranya termasuk penggubalan undang-undang menyeluruh bagi mencegah diskriminasi dalam sektor perumahan dan pekerjaan, menggantikan kuota kaum dengan sistem kemasukan berdasarkan keperluan keluarga berpendapatan rendah serta memperketat pemantauan bagi memastikan agensi seperti Mitra beroperasi secara telus.
Mengulas laporan itu, penyelidik James Chai berkata walaupun orang ramai mungkin mempunyai pelbagai tanggapan terhadap golongan muda, mereka sebenarnya sentiasa memerhatikan perkembangan di sekeliling.
"Belia India Malaysia jelas menunjukkan bahawa rasa diterima sebagai sebahagian daripada sistem politik negara tidak boleh dibeli dengan pemberian sempena perayaan.
"Ia perlu diperoleh melalui layanan adil dalam institusi dan pembaharuan dasar yang sebenar," katanya.
Kajian itu menemubual 111 belia India Malaysia berusia antara 18 hingga 35 tahun dari seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk tiga individu yang kini menetap di luar negara.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/f52f773289fe133996edc5db6e90c264.jpg)
Temu bual dijalankan antara Ogos 2025 hingga April 2026.
Laporan itu menjelaskan bahawa hasil kajian berkenaan tidak mewakili keseluruhan masyarakat India di Malaysia kerana jumlah responden yang kecil. Bagaimanapun, kajian itu memberikan gambaran mengenai pandangan golongan muda serta bagaimana pengalaman hidup mereka membentuk pemahaman terhadap landskap sosio-politik negara.
Dapatan kajian itu dibentangkan oleh penyelidik Shaleen Surendra dalam satu acara di Kuala Lumpur semalam.
Penyelidik lain yang turut terlibat ialah Nadia Lukman, Shalini Muniapan dan Aziff Azuddin.
Lapor komen ini
/file/attachments/885/7c985bf627606be1cd2920a9b62da61d_965671.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.