Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) menegaskan tidak pernah memberikan “pelepasan” kepada Megaspeed International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura atau syarikat berkaitannya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd, susulan dakwaan pengeksportan semula cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia bagi memintas sekatan eksport Amerika Syarikat (AS) ke China.

Miti tidak memperincikan maksud “pelepasan” itu namun berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menentukan sama ada cip yang dibawa masuk ke Malaysia telah dieksport semula ke negara lain dan sama ada pengeksportan semula itu mematuhi undang-undang.

“Malaysia akan menjalankan pemeriksaan sendiri secara bebas, mengikut undang-undang Malaysia dan berdasarkan bukti yang ada,” kata kementerian itu pada kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyusuli laporan mengenai hubungan sulit bekas ketua pegawai eksekutif Nvidia, Jensen Huang, dengan Alice Huang, seorang bekas eksekutif kanan Megaspeed yang disyaki pihak berkuasa AS mempunyai kaitan dengan perisikan China.

Nvidia mengumumkan peletakan jawatan Jensen sebagai presiden, ketua pegawai eksekutif dan anggota lembaga pengarahnya pada 12 Nov.

Bagaimanapun, Kementerian Luar China menolak dakwaan pengintipan itu. Jurucakapnya Guo Jiakun pada 10 Nov menyifatkan dakwaan Alice seorang "pengintip China” sebagai tidak berasas dan bertujuan memburukkan China.

Kementerian Dalam Negeri Singapura pula menjelaskan pada 12 Nov siasatannya terhadap Alice tidak melibatkan pengintipan.

Peguam Negara AS Todd Blanche dipetik Reuters pada 12 Nov berkata Jabatan Kehakiman AS belum membuat kesimpulan sama ada Alice seorang pengintip manakala FBI sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Megaspeed sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan penghantaran cip AI Nvidia ke pusat data di Malaysia dan Indonesia yang dipercayai memberi perkhidmatan kepada pelanggan di China.

Sementara itu Miti berkata lawatan pemeriksaan ke pusat data yang menempatkan operasi Speedmatrix hanya sebahagian daripada pemantauan rutin sektor berkenaan.

Menurut kementerian itu, lawatan sedemikian tidak boleh ditafsirkan sebagai pelepasan kepada mana-mana syarikat.

“Sebarang gambaran sebaliknya tidak tepat,” katanya tanpa menyatakan pihak yang membuat dakwaan berkenaan.

Miti berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menentukan sama ada cip yang dibawa masuk ke negara ini telah dieksport semula ke negara lain dan sama ada sebarang pengeksportan semula itu mematuhi undang-undang.

Miti berkata pihaknya juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Singapura dan AS sambil mempertimbangkan langkah tambahan untuk memperkukuh kawalan sekiranya perlu.

“Walaupun Malaysia tidak menguatkuasakan kawalan eksport yang dikenakan secara sepihak oleh negara lain, semua syarikat yang beroperasi di Malaysia dijangka mengambil kira kawalan itu dalam urusan perniagaan antarabangsa mereka,” katanya.

Malaysia bukan wadah pintas kawalan eksport

Kementerian itu turut mengingatkan syarikat supaya tidak memberikan gambaran mengelirukan mengenai urusan mereka dengan agensi kerajaan.

“Malaysia mengalu-alukan pelaburan dalam pusat data dan teknologi, tetapi tidak akan membenarkan negara ini digunakan untuk memintas kawalan eksport,” tegasnya.

Pada 10 Nov, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani memberitahu Malaysiakini kementeriannya ketika itu belum memulakan siasatan terhadap Speedmatrix kerana belum menerima bukti syarikat itu melanggar undang-undang Malaysia.

Ketika ditemui pemberita semalam, Johari berkata Malaysia akan meneliti sama ada Speedmatrix melanggar sekatan eksport negara ini. Katanya, Putrajaya belum menerima permohonan rasmi daripada pihak berkuasa asing berhubung syarikat itu.

Dalam pada itu, Miti menjelaskan Speedmatrix, sebagai penyewa di pusat data Malaysia, membawa masuk pelayan dan cip AI sendiri untuk kegunaan operasinya.

Menurut kementerian itu, kemasukan cip AI ke Malaysia pada masa ini tidak memerlukan permit atau lesen.

Bagaimanapun, sejak Julai 2025, eksport, eksport semula, pemindahan kapal dan transit cip AI berprestasi tinggi asal AS dari atau melalui Malaysia memerlukan permit Miti di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.

Kementerian itu turut mengingatkan pemberian maklumat palsu kepada Kastam berhubung barangan berkenaan merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kastam 1967.