Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR) menggesa Filipina supaya tidak membenarkan pemimpin junta Myanmar Min Aung Hlaing menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-49, sambil memberi amaran keputusan Malaysia menyambutnya sebagai presiden berisiko menjejaskan pendirian blok itu terhadap rejim tentera.

Gesaan itu disampaikan ketika pertemuan antara delegasi APHR dengan Setiausaha Rendah bagi Dasar Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina Leo M Herrera-Lim di Manila menjelang sidang kemuncak itu.

Menurut APHR, Herrera-Lim memaklumkan kepada delegasi berkenaan tiada undangan rasmi diberikan kepada Min Aung Hlaing dan ketua kerajaan serta menteri-menteri Myanmar tidak akan menghadiri sidang itu.

Pengerusi bersama APHR Charles Santiago mengalu-alukan jaminan itu namun menggesa Filipina selaku pengerusi Asean mengumumkan pendiriannya kepada umum.

Dia berkata pengiktirafan Malaysia terhadap Min Aung Hlaing sebagai presiden menghantar isyarat berbahaya: junta itu boleh mendapatkan semula legitimasi serantau walaupun terus melakukan keganasan terhadap orang awam.

“Asean membuat janji kepada rakyat Myanmar pada 2021, dan lima tahun kemudian, mereka masih mengebumikan mangsa yang terkorban.

“Apabila Malaysia menyimpang daripada pendirian bersama dan menyambut Min Aung Hlaing sebagai presiden, para jeneral sedar mereka hanya perlu menunggu sehingga Asean mengalah,” kata bekas ahli parlimen Klang itu.

APHR turut menyampaikan kebimbangannya menerusi surat yang ditandatangani ahli parlimen dari seluruh Asia Tenggara dan ditujukan kepada Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr serta Setiausaha Hal Ehwal Luar Ma Theresa Lazaro, yang juga utusan khas pengerusi Asean bagi Myanmar.

Pada pertemuan itu, delegasi berkenaan membangkitkan kebimbangan mengenai ikrar terbuka Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengusahakan pemulihan penyertaan Myanmar dalam Asean pada peringkat ketua kerajaan.

Charles berkata APHR menggesa Filipina menasihati Brunei dan Indonesia supaya tidak mengundang Min Aung Hlaing, sambil menolak tekanan daripada China, Rusia dan Thailand untuk menerima semula junta ke dalam blok serantau itu.

APHR memberi amaran Konsensus Lima Perkara (5PC) Asean, yang dipersetujui pada April 2021 susulan rampasan kuasa tentera di Myanmar, semakin menyerupai inisiatif yang gagal.

Kumpulan itu mendakwa lebih 100,000 orang terkorban, secara langsung atau tidak langsung, di bawah pemerintahan Min Aung Hlaing, manakala keganasan berterusan di seluruh negara, sekali gus menyerlahkan kegagalan melaksanakan persetujuan itu.

Delegasi itu turut menyeru supaya hubungan dengan gerakan demokrasi Myanmar diperluas, sambil menolak pilihan raya yang dikendalikan junta serta parlimen yang dibentuk selepas pengundian itu.

Anwar pertahan pendekatan diplomatik

Kritikan terbaru itu timbul lebih sebulan selepas Anwar menerima kunjungan Min Aung Hlaing bagi lawatan rasmi dua hari ke Malaysia pada 7 dan 8 Okt.

Pemimpin Myanmar itu menerima sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, sebelum mengadakan rundingan dua hala dengan Anwar. Cadangan penghantaran pulang warga Myanmar antara perkara utama yang dibincangkan.

Charles mengkritik lawatan itu dan menuduh Anwar membentangkan permaidani merah untuk pemimpin junta berkenaan, walaupun Asean sudah menetapkan pendiriannya terhadap Myanmar.

Bagaimanapun, setiausaha politik Anwar, Kamil Abdul Munim mempertahankan pendekatan itu dengan berkata dialog diplomatik tidak seharusnya disalahtafsirkan sebagai pengiktirafan atau sokongan terhadap rejim tentera.

Kamil berkata matlamat Malaysia termasuk menghentikan keganasan, melaksanakan 5PC, memastikan akses bantuan kemanusiaan dan mengusahakan dialog politik yang inklusif.

Anwar juga menegaskan Malaysia dan Asean belum bersedia mengiktiraf kerajaan Myanmar yang diterajui tentera namun perlu berhubung dengan pihak berkuasa negara itu bagi menangani krisis pelarian.

Wisma Putra sebelum ini berkata lawatan itu sejajar dengan keputusan Sidang Kemuncak Asean ke-48 untuk meneruskan interaksi yang membina dan berprinsip dengan Myanmar.

5PC, yang dipersetujui pemimpin Asean pada April 2021, menyeru penghentian segera keganasan, dialog antara semua pihak, pelantikan utusan khas, bantuan kemanusiaan dan lawatan utusan berkenaan ke Myanmar.

Bagaimanapun, pelaksanaannya masih tergendala susulan pertempuran yang berterusan dan penentangan daripada kepimpinan tentera.

Pada 2018, Misi Pencarian Fakta Antarabangsa Bebas PBB mengenai Myanmar mengenal pasti petunjuk niat genosid dan menggesa Min Aung Hlaing serta pemimpin tentera kanan lain disiasat dan didakwa atas dakwaan genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

Myanmar turut berdepan kes yang difailkan Gambia dengan sokongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2019 berhubung dakwaan pelanggaran Konvensyen Genosid membabitkan etnik Rohingya.

Kampung Rohingya yang dibakar di negeri Rakhine, Myanmar pada 2018.

ICJ dijadualkan mengumumkan penghakiman pada 19 Nov ini bagi menentukan tanggungjawab Myanmar sebagai negara.

Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pula memohon waran tangkap terhadap Min Aung Hlaing pada 27 Nov 2024 atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan membabitkan pengusiran dan penganiayaan etnik Rohingya.

Di Indonesia, sekumpulan aktivis Rohingya bersama bekas peguam negara Marzuki Darusman memfaikan aduan jenayah terhadap jeneral itu berhubung dakwaan genosid Rohingya di mahkamah republik itu pada 6 April 2026.