Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyindir tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) susulan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak pada 10 Nov lalu.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan mempersoalkan pendirian pemimpin PH yang kini kononnya mahu mempertahankan prinsip, sedangkan mereka masih berkongsi kuasa dengan BN dalam kerajaan.

Dia berkata peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai menteri pengangkutan dan ikrar Presiden Amanah Mohamad Sabu untuk melepaskan gaji menterinya dilihat sekadar usaha mengambil hati penyokong masing-masing.

"Sudah tiba masanya Harapan menghentikan segala drama sampingan ini dan menumpukan perhatian kepada punca sebenar masalah.

"Jelas sekarang bahawa BN tidak mungkin akan terus bersama Harapan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kritikan itu dibuat ketika hubungan PH dan BN semakin tegang menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka esok.

Menurut Arutchelvan, pemimpin PH sebelum ini tidak menunjukkan bantahan serius terhadap beberapa keputusan kontroversi membabitkan BN.

Antaranya pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri serta keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) presiden Umno itu daripada pertuduhan rasuah.

"Semua ini bukanlah garis merah kerana pada ketika itu BN bersama Harapan, maka garis merah berkenaan seolah-olah tidak wujud," katanya.

Dia mendakwa prinsip yang sebelum ini diketepikan hanya kembali dibangkitkan selepas BN secara terbuka bekerjasama dengan PAS dan mengambil pendirian menentang PH dalam pilihan raya negeri.

'Apa motif di sebalik semua ini?'

Mengulas peletakan jawatan Loke, Arutchelvan mempersoalkan tindakan itu memandangkan menteri DAP lain masih kekal dalam kabinet, malah parti berkenaan dijangka mencalonkan penggantinya.

"Adakah Anthony Loke cuba memberitahu kita bahawa hanya dia seorang menteri DAP yang berprinsip? Atau adakah ini untuk menunjukkan bahawa DAP lebih berprinsip berbanding PKR dan Amanah?

"Apa motif di sebalik semua sandiwara ini?" soalnya.

Loke sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya susulan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib. Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih belum menerima peletakan jawatan itu.

DAP pula menegaskan bahawa parti itu kekal menyokong pentadbiran Anwar.

Arutchelvan turut menyindir ikrar Mohamad untuk melepaskan gaji bulanannya sebanyak RM11,900 sebagai menteri bagi membantu usaha memperjuangkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap banduan lain.

"Supaya tidak ketinggalan, Mohamad Sabu pula mengeluarkan satu lagi helah daripada kantung gajinya," katanya.

Dalam pada itu, Arutchelvan mengkritik pertikaman lidah antara pemimpin PH dan BN, termasuk desakan supaya menteri BN meletakkan jawatan serta serangan DAP terhadap Presiden MCA Wee Ka Siong.

Ketegangan terbaru menyaksikan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo mencabar Zahid dan menteri Umno lain supaya meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi menyokong Anwar.

Cabaran itu dibuat selepas Zahid mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan berbanding melakukan rombakan kabinet.

Menurut Arutchelvan, pertelingkahan terbuka antara kedua-dua gabungan itu mencerminkan kelemahan kerjasama politik yang tidak berasaskan prinsip dan ideologi bersama.

"Inilah masalahnya apabila gabungan politik tidak dibentuk berasaskan prinsip dan ideologi yang sama.

"Apabila keinginan untuk terus berkuasa menjadi matlamat utama, maka terimalah hakikat itu," katanya.

Dia turut menggesa PH dan BN memperjelas pendirian masing-masing daripada terus bertelagah secara terbuka sedangkan kedua-duanya masih berada dalam kerajaan.

"Sudah tiba masanya kita menetapkan garis pemisah. Siapa di pihak sini dan siapa di pihak sana," tegasnya.