Islam tak jadi mulia dengan merendahkan agama lain, kata PH pada Hadi
PH hari ini mengingatkan semua pihak bahawa pilihan raya tidak sepatutnya dijadikan medan untuk membangkitkan ketakutan dan prasangka kaum serta agama.
Sebaliknya, kata Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, ia adalah ruang untuk rakyat menilai rekod prestasi, integriti dan kemampuan calon serta parti politik yang bertanding.
Menegaskan perkara itu Saifuddin berkata penilaian ke atas seseorang atau mana-mana pihak berdasarkan hanya kepada agama dan mengetepikan aspek akhlak, integriti dan tanggungjawab adalah sangat tidak wajar.
“Saya ingin mengingatkan bahawa Islam tidak menjadi mulia dengan merendahkan agama lain.
“Islam menjadi mulia melalui keadilan, akhlak, ilmu, amanah dan contoh kepimpinan yang baik,” katanya mengulas ceramah disampaikan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, semasa berkempen di Melaka malam tadi.
Dalam ceramah itu Abdul Hadi menukilkan sejarah silam dengan mendakwa sejahat-jahat dan seburuk-buruk mereka, ia tetap tidak terbandingkan dengan “kezaliman orang bukan Islam.”
Justeru ahli politik berusia 79 tahun itu menggesa orang Islam yang berdaftar dalam senarai pemilih SPR untuk keluar beramai-ramai mengundi calon PN dan BN esok demi memastikan kedua-dua gabungan tersebut mencapai kemenangan.
Untuk rekod Abdul Hadi sering menggambarkan parti lain yang tidak sehaluan dengan PAS – khususnya DAP – sebagai kumpulan ekstrem, dan pada masa sama yang sealiran dengan mereka sebagai parti sederhana.
Pada masa sama, sejarah menunjukkan PAS juga pernah bekerjasama dengan DAP beberapa kali termasuk melalui Pakatan Rakyat sehingga berjaya merampas pentadbiran Selangor pada 2008.
Jangan buat Islam dipandang lekeh
Saifuddin berkata kekuatan orang Melayu dan Islam tidak akan terhakis hanya kerana Ienghormati hak kaum serta agama lain.
“Sebaliknya, umat Islam akan lebih dihormati apabila mereka menjadi contoh terbaik dalam keadilan, kemajuan, kebijaksanaan dan sifat rahmah kepada seluruh manusia,” katanya lagi.
Menurut Saifuddin lagi, kemuliaan Islam perlu dizahirkan melalui nilai keadilan, akhlak, ilmu dan amanah, bukannya dengan merendahkan agama lain.
“Islam menjadi mulia melalui keadilan, akhlak, ilmu, amanah dan contoh kepimpinan yang baik,” katanya.
Sementara itu empat ahli parlimen DAP mencabar BN dan PN menyatakan sikap terhadap pandangan dikemukakan Abdul Hadi.
Dalam kenyataan tersebut mereka mendesak parti komponen dalam kedua-dua gabungan itu – Gerakan, MIPP, MIC dan MCA, menunjukkan pendirian masing-masing.
“Jika tidak, rakyat Malaysia berhak mempersoalkan pendirian parti-parti BN dan PN itu jika mereka menerima dan bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh Abdul Hadi,” katanya.
/file/attachments/orphans/AbdulHadiAwang3_339207.jpg)
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Sheikh Umar Bagharib Ali (senator dan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP), Syahredzan Johan (Ahli Parlimen Bangi merangkap Naib Pengerusi Kebangsaan DAP), Young Syefura Othman (Ahli Parlimen Benting merangkap Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, dan Syerleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera).
Menurut mereka, kenyataan dibuat Abdul Hadi itu mempunyai kecenderungan untuk menghasut umat Islam agar memusuhi dan membenci rakyat bukan Islam, sekali gus menjadi bukti jelas bagaimana PAS mengamalkan politik perpecahan bagi meraih undi.
Kata mereka, sesiapa saja yang zalim, jahat dan bobrok tidak patut dipilih sebagai pemimpin di peringkat negeri mahupun kebangsaan, tidak kira apa agama atau keturunan sekalipun.
Rakyat Malaysia, tambah mereka, harus menolak mereka yang menyalahgunakan kuasa, melakukan rasuah dan mencuri wang rakyat, serta mereka yang menghalalkan perbuatan tersebut.
“Kenyataan Abdul Hadi ini bukan sahaja mengelirukan, malah mencalarkan kesucian Islam dengan menggambarkan seolah-olah kezaliman seseorang pemimpin boleh diterima atau dianggap lebih ringan hanya kerana dia beragama Islam.
“Janganlah kerana kepentingan politik, Islam dipandang lekeh dan hina akibat kenyataan pemimpin yang sepatutnya memahami prinsip keadilan agama,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/SaifuddinNasutionIsmailsdfasds_358425.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.