Kabinet belum bincang cadangan dedah minit pengampunan Najib
Cadangan menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak tidak dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat kabinet hari ini, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
Perkembangan itu menyusuli kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat semalam yang menyatakan dia akan membawa cadangan berkenaan ke mesyuarat mingguan kabinet hari ini.
Saifuddin berkata langkah itu dapat memberikan penjelasan serta perspektif lebih tepat mengenai proses Lembaga Pengampunan membuat keputusan.
Fahmi berkata kabinet sedang mendapatkan nasihat Peguam Negara berhubung perkara itu.
“Tak dibangkitkan secara langsung dalam meeting tapi saya difahamkan perkara itu sedang diatur mengambil kira beberapa aspek perundangan.
“Hasrat itu ada tapi perlu lalui proses yang wajib,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet.
/file/attachments/orphans/213453454533_244043.png)
Cadangan itu dibangkitkan ahli parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat semalam.
Menurut Syed Saddiq, polemik pengampunan Najib mencetuskan beberapa laporan polis terhadap bekas ahli parlimen Damansara Tony Pua, selain tuduhan menderhaka terhadap pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Lembaga Pengampunan.
Dia meminta Saifuddin mempertimbangkan cadangan menyahklasifikasikan “laporan” lembaga itu bagi merungkai polemik berkenaan, sambil menyifatkan tidak adil kerajaan menanggung beban moral keputusan tersebut.
Belum ada perkembangan soal pengganti Loke
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata belum ada perkembangan berhubung soal pengganti Anthony Loke sebagai menteri pengangkutan.
Katanya, perkara itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini, sementara Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah menjelaskan pendiriannya ketika ceramah Pakatan Harapan (PH) di Ayer Keroh malam tadi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/e9dd81ab22a4a1794549b6b150b2fd09.jpg)
Anwar berkata dia belum menerima peletakan jawatan Loke dan perkara itu boleh dirunding semula, sambil mencadangkan pemimpin DAP berkenaan berehat seketika.
Bagaimanapun, Loke yang turut berucap pada majlis sama menegaskan keputusannya muktamad.
“Saya dan DAP kekal menyokong Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Dia turut menegaskan kesemua 40 ahli parlimen DAP kekal teguh menyokong ahli parlimen Tambun itu.
Pengumuman peletakan jawatan Loke menyusuli kontroversi keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah, yang mengundang kritikan dalam kalangan pemimpin DAP.
Nacsa diminta beri maklumat terkini gangguan Microsoft
Secara berasingan, Fahmi berkata laporan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) mengenai gangguan Microsoft belum dibentangkan kepada kabinet.
Gangguan Microsoft 365 itu menjejaskan akses kepada Outlook serta beberapa fungsi perkhidmatan lain, termasuk Teams, SharePoint dan Copilot.
Microsoft pada peringkat awal melaporkan peningkatan beban pada sebahagian infrastrukturnya serta beberapa pelayan yang tidak dapat beroperasi, sekali gus menjejaskan akses kepada peti mel dan perkhidmatan lain.
Fahmi berkata setakat pagi ini, dia masih menunggu laporan Nacsa, sambil menyatakan insiden itu melibatkan beberapa negara dan boleh membawa implikasi besar.
Katanya, dia belum dimaklumkan kementerian atau jabatan kerajaan di Malaysia yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan awan Microsoft itu.
Dia berkata akan menasihati Nacsa supaya mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan yang diambil.
Sementara itu, Nacsa menerusi makluman awam hari ini menyatakan gangguan berkenaan lebih berkemungkinan berpunca daripada masalah teknikal atau infrastruktur.
“Berdasarkan maklumat semasa, gangguan ini lebih cenderung berpunca daripada isu teknikal atau infrastruktur dan bukan serangan siber,” menurut agensi itu.
Nacsa turut meminta agensi kerajaan dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) menyemak status perkhidmatan masing-masing, memastikan pemantauan keselamatan siber tidak terganggu serta melaporkan sebarang gangguan operasi melalui saluran sedia ada.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/NajibRazak1_213797.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.