Parlimen Jerman pada Jumaat meluluskan rombakan besar terhadap perkhidmatan perisikan negara itu, dengan memberikan kuasa lebih luas kepada agensi perisikan untuk bertindak menangani ancaman keselamatan, termasuk menjalankan operasi sabotaj di luar negara, lapor Anadolu Ajansi.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan 309 undi menyokong, 190 menentang dan 71 berkecuali.

Menteri Dalam Negeri Alexander Dobrindt menyifatkan perubahan berkenaan sebagai “pembaharuan paling besar abad ini”.

“Kita perlu memperkukuh demokrasi daripada pihak yang menyerangnya, sama ada dari dalam mahupun luar negara,” kata Dobrindt ketika berucap di Parlimen.

Pembaharuan itu memperluas bidang kuasa Perkhidmatan Perisikan Persekutuan (BND) yang bertanggungjawab terhadap perisikan luar negara, serta Pejabat Persekutuan bagi Perlindungan Perlembagaan (BfV), iaitu agensi perisikan domestik Jerman.

Dalam keadaan tertentu, BfV akan dibenarkan mengambil tindakan melangkaui pengumpulan maklumat dan pemantauan individu, termasuk memasuki kediaman persendirian secara sulit atau campur tangan dalam kes yang melibatkan bahan letupan atau senjata.

Bagaimanapun, kuasa membuat tangkapan dan menjalankan penggeledahan secara terbuka kekal menjadi tanggungjawab eksklusif polis.

BND juga akan diberikan kuasa operasi, termasuk keupayaan melumpuhkan pelayan milik kumpulan penggodam di luar negara yang mendapat sokongan kerajaan.

Sebuah panel yang dianggotai bekas hakim akan meneliti kesahihan langkah tertentu dari segi undang-undang sebelum tindakan berkenaan dilaksanakan.

Kerajaan Jerman memaklumkan bahawa perubahan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap ancaman yang semakin meningkat daripada perkhidmatan perisikan asing, khususnya Rusia dan China, selain bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap maklumat perisikan yang dibekalkan negara sekutu.

Bagaimanapun, ahli politik pembangkang dan kumpulan perundangan memberi amaran bahawa peluasan kuasa itu boleh menjejaskan kebebasan awam serta prinsip pengasingan antara fungsi pengumpulan risikan dan penguatkuasaan undang-undang yang diamalkan Jerman sejak selepas Perang Dunia Kedua.

Prinsip pengasingan itu mencerminkan pengalaman negara berkenaan ketika era Nazi, apabila Gestapo menggabungkan kegiatan pengawasan dengan kuasa untuk menindas pihak lawan politik dan kumpulan lain yang menjadi sasaran.

Persatuan Peguam Jerman memberi amaran bahawa pemberian kuasa kepada agensi perisikan untuk campur tangan secara langsung akan “menjejaskan pengasingan antara perkhidmatan perisikan dan polis seperti yang diwajibkan oleh perlembagaan”.

Persatuan itu turut mengkritik kelemahan perlindungan terhadap komunikasi sulit antara peguam dengan anak guam mereka.

Ahli Parlimen daripada Parti Hijau, Konstantin von Notz, sebelum ini memberi amaran bahawa perubahan berkenaan boleh membolehkan ejen perisikan mengambil tindakan terhadap rakyat tanpa ketelusan dan penelitian undang-undang seperti yang diwajibkan terhadap polis.

- Bernama-Anadolu