Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berada pada kedudukan untuk mengulas sama ada petisyen pengampunan banduan wajar dipertimbangkan atau tidak kerana tugasnya hanyalah melaksanakan sebarang keputusan yang dibuat lembaga pengampunan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, yang menyatakan bahawa semua banduan yang layak wajar diberikan layanan sama seperti yang diterima Najib Razak.

"Hak untuk mengemukakan petisyen pengampunan sudah pun wujud mengikut undang-undang dan terbuka kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira kedudukan atau kekayaan.

"Tidak kiralah siapa sahaja - orang kecil, orang besar, orang kaya, orang miskin, VIP atau rakyat biasa. Hak itu sudah pun ada mengikut undang-undang," katanya.

Tambah Saifuddin apabila sesuatu petisyen dikemukakan, menjadi tanggungjawab lembaga pengampunan untuk menelitinya, sama ada di peringkat persekutuan - yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong - atau negeri (sultan).

Sama ada petisyen pengampunan itu dibincangkan, dipertimbangkan dan dibuat keputusan atau tidak, katanya, ia bukan dalam bidang bidang kuasa KDN.

"Tetapi kalau ada keputusan dibuat, tugas kami (KDN) ialah melaksanakannya.

"Sama ada hukumannya dikurangkan, dibatalkan, dibebaskan atau diletakkan di rumah, kerja kami adalah melaksanakannya," kata Saifuddin lagi.

Dia ditemui media selepas menghadiri majlis Program Madani Kita serta majlis penyerahan Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Rela di Sitiawan, Perak.

Sebelum ini, Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata dia akan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri berjumlah RM11,900 bagi membantu membiayai NGO memperjuangkan mekanisme tahanan rumah yang adil dan memberi manfaat kepada semua banduan.

Secara khusus, dia mencadangkan agar banduan dibenarkan menjalani separuh daripada tempoh hukuman penjara di dalam penjara manakala selebihnya dipindahkan ke tahanan rumah.

Dia berkata ia sepatutnya menjadi pilihan bagi banduan untuk semua jenis kesalahan.

"Sebagai komitmen terhadap usaha itu, saya sedia menyerahkan keseluruhan gaji saya sebagai menteri sehingga pembubaran parlimen penggal ini bagi membantu membiayai usaha NGO yang menggerakkan perjuangan berkenaan.

"Keadilan mesti ditegakkan tanpa diskriminasi, tanpa keistimewaan terpilih dan tanpa layanan dua darjat," katanya.

Bekas perdana menteri Najib Razak dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur pada 10 Nov lalu untuk menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah.

Perkembangan itu menyusuli pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Sept lalu.

Sebelum itu, pengampunan diraja pada 2024 mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.