PRN MELAKA | Kadar keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 mencecah 68.30 peratus setakat kemas kini 4.42 petang ini, membabitkan 457,041 pengundi biasa.

Menurut dashboard rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), angka itu berdasarkan keseluruhan 669,211 pengundi biasa yang layak mengundi secara fizikal hari ini.

Serkam mencatat kadar keluar mengundi tertinggi dengan 77.69 peratus, diikuti Ayer Molek (76.80 peratus) dan Tanjung Bidara (74.40 peratus).

Bandar Hilir pula merekodkan kadar terendah dengan 55.99 peratus, diikuti Kota Laksamana (60.72 peratus) dan Sungai Udang (61.59 peratus).

Sebanyak 240 pusat mengundi dengan 1,213 saluran dibuka sejak 8 pagi tadi dan dijadualkan ditutup pada 6 petang.

Secara keseluruhan, terdapat 675,166 pengundi biasa pada PRN kali ini, termasuk 5,955 yang mengundi secara pos.

Seramai 79 calon bersaing merebut 28 kerusi DUN bagi menentukan pentadbiran negeri untuk penggal seterusnya.