Bermula dengan sekeping yang dimilikinya ketika di darjah satu pada 1981, minat Abdul Aziz A Hamid mengumpul lencana sekolah kini berkembang dengan ketara hasil kegigihannya.

Setakat ini dia sudah menyimpan lebih daripada 2,000 lencana sekolah melibatkan pelbagai negeri.

Ada sebab mengapa Abdul Aziz, 52, melihat lencana sekolah berbeza daripada orang lain. Dia tidak melihat lencana sekadar sebuah lambang pernyataan tentang sesebuah sekolah.

Bagi juruteknik itu ia merupakan identiti penting institusi pendidikan yang turut menyimpan sejarah dan gambaran perubahan zaman.

"Sejak darjah satu lagi, pada tahun 1981," katanya ketika menceritakan permulaan hobi tersebut kepada Malaysiakini.

Abdul Aziz menunjukkan bagaimana dia menyusun semua koleksinya agar rapi.

Ketika itu dia memiliki lencana besi Sekolah Kebangsaan Jengka 2. Ia adalah bahan koleksi pertamanya yang masih disimpan baik sehingga kini.

Bagaimanapun, perjalanan Abdul Aziz menjadi pengumpul lencana sekolah tidak bermula serta-merta. Dia hanya betul-betul serius mengumpul lencana sekolah pada awal 2012.

Puncanya – satu lagi hobi lelaki itu terkesan dengan realiti semasa. Dia sebelum itu penggemar setem, namun kenaikan harga menyebabkan dia beralih kepada mengumpul lencana sekolah pula.

Untuk rekod, selain setem, Abdul Aziz juga pengumpul duit syiling, wang kertas, poskad dan sampul duit raya.

Cuma, katanya, mengumpul lencana sekolah ada kelebihan berbanding bahan-bahan lain yang diminati itu.

"Kos untuk membeli lencana adalah lebih murah berbanding dengan hobi saya yang lain," katanya.

Ada sekolah yang tak lagi wujud

Setakat ini, Abdul Aziz sudah mengumpul dan merekodkan lencana dari 2,024 sekolah, namun ia belum mencukupi. Ada banyak lagi institusi pendidikan yang belum berjaya diperoleh lencananya.

Menurut lelaki kelahiran Kedah daripada pasangan asal Jengka itu, berdasarkan rekod terkini Kementerian Pendidikan Malaysia, sehingga Sept lalu terdapat 10,259 sekolah di negara ini.

“Maknanya setakat ini saya baru ada kira-kira 20 peratus lencana daripada jumlah sekolah yang kita ada,” katanya lagi.

Dia mengingatkan hobi mengumpul lencana sekolah tidaklah semudah atau seringkas yang dibayangkan. Sebaliknya ia perlu ketelitian dan kesabaran. Misalnya, sebelum sesebuah lencana diperoleh dia perlu mengenal pasti lokasi sekolah berkenaan dan menyediakan fail.

Langkah itu penting, katanya, untuk tujuan dokumentasi.

Justeru dia turut dibantu oleh adik-beradik, saudara-mara, rakan sekerja dan jiran.

“Saya membeli lencana ini melalui apa saja kaedah yang ada.

“Kadang-kadang saya beli menerusi platform media sosial seperti Facebook dan Carousell, tetapi pada ketika tertentu saya bertukar-tukar koleksi dengan pengumpul lain dari seluruh Malaysia.

“Sudah tentu ada masanya saya juga mendapatkan lencana terus dari sekolah,” katanya.

Antara koleksi lencana sekolah dikumpul Abdul Aziz.

Antara koleksi yang dianggap istimewa ialah lencana Sekolah Kebangsaan Serdang Pusat di Serdang, Kedah, yang ditubuhkan pada 1915.

Hal itu kerana, katanya, sekolah berkenaan sudah memiliki identiti yang baru apabila ia dipindahkan ke lokasi lain, sekali gus menggunakan lencana yang baru.

“Melalui lencana yang lama kita boleh nampak perubahan identiti sekolah itu,  termasuk dari segi reka bentuk, penggunaan nama dan lambang yang berbeza,” katanya.

Sama juga dengan SJKC Ladang Harcroft yang terletak Ayer Tawar, Manjung di Perak. Ia sudah tidak wujud lagi apabila dipindahkan ke Puchong, Selangor dan diberi nama baru – SJKC Shin Cheng (Harcroft).

“Pada awalnya sekolah di Puchong itu menggunakan nama dan logo asal untuk beberapa tahun sebelum ia bertukar, termasuk lencana yang diberi reka bentuk baru,” katanya.

Bagi Abdul Aziz, perubahan tersebut menunjukkan mengapa lencana sekolah wajar disimpan dan didokumentasikan.

"Lencana sekolah bukan sekadar identiti sesebuah sekolah," katanya, “malah ia juga menggambarkan perubahan zaman, seperti bagaimana suasana persekitaran ketika sesebuah sekolah dibuka.”

Sekolah minta surat sebagai bukti

Sejarah itu, tambah Abdul Aziz, boleh dilihat pada pemilihan ikon atau simbol yang dipaparkan pada lencana sekolah.

Misalnya, tambah Abdul Aziz, pada peringkat awal dulu kebanyakan lencana sekolah menggunakan lambang buku, obor dan pen namun kini ia digantikan dengan objek kontemporari seperti komputer dan satelit.

Menyimpan lencana sekolah juga mengajar Abdul Aziz bahawa ada sesetengah sekolah yang berkongsi reka bentuk hampir sama. Yang membezakan sesebuah sekolah itu, katanya, hanyalah warna yang digunakan.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi untuk meneruskan hobi itu, Abdul Aziz berkata, ia lebih daripada kos untuk mendapatkan lencana sekolah, tetapi usaha yang kadang-kadang perlu ditingkatkan.

“Kadang-kadang pihak sekolah hanya ada stok yang terhad, selain itu ada juga sekolah yang tidak lagi menyediakan lencana untuk semua pelajarnya.

“Pernah berlaku ada sebuah sekolah di kawasan pedalaman yang meminta surat daripada saya sebelum membenarkan lencana mereka dibeli,” katanya.

Namun kadang-kadang ‘pahit’ yang kekal lama.

Sebahagian daripada koleksi setem yang sempat dikumpul Abdul Aziz.

Selepas dia menyiapkan surat yang diminta dan dihantar melalui e-mel, pihak sekolah terbabit menerima malah menghargai hobi Abdul Aziz.

"Selepas itu pihak sekolah berkenaan memberikan lencana mereka secara percuma sebagai tanda sokongan," katanya.

Selain mengumpul secara peribadi, Abdul Aziz pernah menyertai Ekspo Hobi Malaysia sebanyak empat kali bagi memperkenalkan koleksinya kepada orang ramai.

Di situ dia dapat melihat pelbagai reaksi daripada pengunjung.

Cuma dia belum berpuas hati kerana koleksi yang ada belum mencapai tahap yang diingini. Matlamat akhir Abdul Aziz ialah mahu menjadikan koleksi lencana itu sebagai sebuah arkib yang boleh diakses orang ramai.

"Sebagai seorang pengumpul, sudah tentu kita akan mencuba untuk mengumpulkan sebanyak mungkin bahan yang kita minat.

"Sambil-sambil mengumpul kita juga boleh mengeratkan tali persahabatan antara rakan yang berkongsi minat," tambahnya.