Krisis N Sembilan: Kesetiaan kepada raja bukan macam suis lampu, kata Mahfuz
Penarikan balik surat kepada Majlis Raja-Raja berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan belum menamatkan krisis kepercayaan terhadap kerajaan negeri, sebaliknya menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dijawab.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata antara perkara yang perlu dijelaskan ialah sebab perubahan pendirian kerajaan negeri, selain dakwaan Menteri Besar, Ismail Lasim, yang mendakwa dia dipaksa menandatangani dokumen terkait Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mengulas penarikan balik surat bertarikh 17 Sept itu, Mahfuz berkata langkah berkenaan boleh dilihat sebagai pembetulan terhadap kesilapan terdahulu, namun tidak bermakna seluruh krisis kepercayaan yang berlaku di Negeri Sembilan selesai secara automatik.
Menurutnya, berdasarkan laporan Berita Harian pada 14 Nov, surat penarikan balik itu dibuat oleh Ismail bersama 10 bekas exco dengan menegaskan semula sokongan mereka kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Mahfuz berkata persoalan pertama yang perlu dijawab ialah sebab kerajaan negeri mengubah pendirian daripada menyokong tindakan berkaitan pengisytiharan yang mencabar kedudukan Tuanku Muhriz kepada menarik balik surat berkenaan.
"Apakah yang menyebabkan perubahan pendirian ini? Adakah kerana kesedaran bahawa tindakan terdahulu tidak wajar, kerana perkembangan undang-undang, atau kerana teguran Majlis Raja-Raja Melayu?
"Rakyat berhak mengetahui sebab sebenar perubahan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Persoalan kedua, katanya, berkaitan dakwaan Ismail sebelum ini bahawa tandatangannya diperoleh secara paksaan sehingga mendorongnya membuat laporan polis.
Mahfuz berkata Ismail perlu menjelaskan siapa yang didakwa memaksanya, bentuk paksaan yang berlaku serta perkembangan laporan polis berkenaan.
Bina kepercayaan perlukan kejujuran
Jika dakwaan paksaan itu tidak lagi menjadi pendirian Ismail, katanya, Ismail tetap perlu menjelaskan kedudukan laporan polis yang dibuat sebelum ini.
"Kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa laporan polis itu palsu atau dakwaan paksaan itu direka-reka.
"Menteri Besar Negeri Sembilan wajib menjelaskan perkara ini kerana beliau sendiri yang membuat dakwaan dan laporan tersebut," katanya.
Bekas timbalan menteri itu turut mempersoalkan jika penarikan balik surat itu memadai untuk memulihkan kepercayaan di antara istana, menteri besar dan pentadbiran negeri.
Katanya, Ismail perlu menggariskan langkah konkrit bagi memastikan hubungan antara institusi berkenaan kembali berasaskan rasa hormat, amanah dan kepercayaan.
Jawatan menteri besar, tambah Mahfuz, adalah seperti jambatan penghubung di antara istana dengan kerajaan negeri, justeru hubungan itu tidak boleh dianggap pulih hanya dengan penarikan balik surat yang kontroversi sebelum ini.
Persoalan keempat yang dibangkitkan Mahfuz pula menyentuh pihak yang perlu bertanggungjawab terhadap kesan krisis berkenaan.
Mahfuz berkata episod pertikaian itu bukan sekadar melibatkan individu, sebaliknya turut membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, pelantikan dan pembatalan pelantikan exco, penggantungan pegawai kanan kerajaan negeri serta tindakan undang-undang yang menyusul.
/file/attachments/orphans/n9b1_742048.png)
Menurutnya, perkembangan tersebut memberi kesan kepada kewibawaan institusi raja, kestabilan pentadbiran dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.
Dia menegaskan isu berkenaan bukan soal mempertahankan mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya berkaitan usaha mempertahankan institusi raja berperlembagaan, keluhuran perlembagaan dan kestabilan Negeri Sembilan.
"Kesetiaan kepada raja bukan seperti suis lampu. Ia tidak boleh hari ini dipadamkan, esok dipasang semula apabila keadaan politik berubah.
"Mengangkat sembah boleh dilakukan dalam beberapa saat. Tetapi membina semula kepercayaan memerlukan kejujuran, konsistensi dan tindakan yang berterusan," katanya.
Mahfuz berkata penarikan balik surat itu tidak sepatutnya dianggap sebagai noktah kepada krisis, sebaliknya menjadi permulaan kepada usaha memulihkan kepercayaan dan memikul tanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku.
"Surat sudah ditarik balik,tetapi siapa boleh menarik balik persoalan rakyat? Siapa boleh memadamkan keraguan yang telah timbul?
“Dan siapa boleh menjamin perkara yang sama tidak akan berulang?
"Negeri Sembilan tidak kekurangan kuasa. Negeri Sembilan sedang memerlukan semula kepercayaan," katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/MahfuzOmar5_306776.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.