Rafizi dakwa undi Bersama meningkat, tolak politik identiti Umno, PAS, DAP
Bersama gagal mencapai matlamat untuk mempertahankan wang deposit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun pemimpin parti itu, Rafizi Ramli, tetap melihat keputusan itu dari sudut positif apabila mendakwa sokongan terhadap parti berkenaan meningkat, khususnya dalam kalangan bukan Melayu.
Dalam analisis pilihan raya petang semalam, Rafizi menganggarkan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Bersama meningkat lebih 100 peratus berbanding pilihan raya Johor.
Dia turut menganggarkan parti itu memperoleh 4.26 peratus undi Melayu pada pilihan raya Sabtu lalu.
Sikap optimis pemimpin Bersama itu berbeza dengan pandangan beberapa penganalisis politik yang melihat keputusan PRN Melaka sebagai petanda Bersama sedang bergelut untuk mendapatkan sokongan.
Bersama hilang wang deposit di 15 daripada 16 kerusi yang ditandinginya. Parti itu hanya berjaya mempertahankan wang deposit di kerusi DUN Bemban, namun hal itu dikaitkan dengan ketiadaan PH sebagai pencabar di kerusi berkenaan.
Analisis Malaysiakini berdasarkan data daripada electiondata.my menunjukkan peratusan undi yang diperoleh Bersama meningkat di kerusi majoriti bukan Melayu di Melaka.
Bagaimanapun, peningkatan itu perlu dilihat dengan mengambil kira jumlah undi sebenar yang lebih rendah berikutan saiz kawasan pilihan raya di Melaka secara umumnya lebih kecil berbanding kawasan pilihan raya di Johor.
Sementara itu, analisis terhadap peratusan undi Bersama di empat kerusi yang mempunyai lebih 70 peratus pengundi Melayu, iaitu Kuala Linggi, Sungai Udang, Telok Mas dan Serkam, menunjukkan parti yang menggunakan simbol kancil itu memperoleh purata hampir 4.26 peratus undi.
Dalam tulisannya, Rafizi mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang menjadi antara penyokong terawal Bersama, yang disifatkannya sebagai platform politik untuk masa depan negara.
/file/attachments/orphans/malacca1dd_423701.jpg)
Dia berkata kejayaan parti itu tidak seharusnya diukur dalam tempoh beberapa bulan atau tahun, sebaliknya berdasarkan pencapaian dalam satu generasi.
Menurutnya, Bersama akan menjadi "pendinding kepada api politik identiti" yang didakwanya diperjuangkan oleh Umno, PAS dan DAP.
"Umno/PAS memerlukan DAP untuk menakutkan pengundi Melayu, DAP memerlukan Umno/PAS untuk menjadi pembela bukan Melayu.
"Walaupun Umno/PAS dan DAP sedang menunggang gelombang politik identiti ini, Bersama tidak gentar untuk melawan kedua-dua kumpulan ini di spektrum mereka sendiri," katanya.
Pada PRN Melaka, Bersama bertanding di kerusi yang disandang oleh BN, PN dan DAP.
Rafizi berkata keadaan itu berbeza dengan Umno-PAS dan DAP yang jarang meletakkan calon untuk menantang antara satu sama lain.
Menurutnya Bersama akan terus menentang rasuah, kelemahan pentadbiran, politik persembahan (performative politics), yang merendahkan standard ukuran politik yang sepatutnya memberi tumpuan kepada visi, lonjakan prestasi, kecekapan pentadbiran dan kebijakan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/bersamapc1_645412.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.