Zetrix AI tawar bayar pendahuluan RM100 juta sebelum dilantik semula - Hasbi
Zetrix AI Berhad mencadangkan penyelesaian bayaran tunggakan secara alternatif merangkumi bayaran pendahuluan RM100 juta sebelum dilantik semula bagi melaksanakan perkhidmatan kutipan hasil bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi surat bertarikh 5 Nov lepas.
Beliau berkata baki tunggakan sebanyak RM214 juta pula akan dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh enam bulan melalui enam bayaran ansuran bulanan sama rata berjumlah RM35.67 juta.
“Cadangan penyelesaian ini telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan menerusi surat MOT bertarikh 10 Nov 2026 untuk mendapatkan hala tuju selanjutnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi MOT di Dewan Rakyat hari ini.
Hasbi berkata jumlah penalti yang dikenakan ialah sebanyak RM29 juta berdasarkan terma dan syarat perjanjian.
Dalam pada itu, beliau berkata MOT menerusi JPJ telah memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.
Hasbi berkata Pejabat Penasihat Undang-Undang kementerian sedang mengambil tindakan mengeluarkan notis tuntutan kepada syarikat berkenaan dan sekiranya tiada bayaran dijelaskan dalam tempoh ditetapkan, tindakan tuntutan mahkamah akan diteruskan setelah dirundingkan bersama Jabatan Peguam Negara.
“Bagaimanapun, pengeluaran notis tuntutan dan tindakan mahkamah tersebut tidak akan diteruskan sekiranya cadangan penyelesaian bayaran tertunggak oleh Zetrix AI dipersetujui oleh kerajaan,” katanya.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/8a61c59833ce7abe23538bbb8d5271f2.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.