Trump hargai peranan Anwar dalam perjanjian damai Kemboja-Thailand
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa mengiktiraf peranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu memeterai perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand tahun lepas, selain menegaskan semula komitmen Washington untuk memastikan perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya.
Berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Manila pada Selasa malam, Trump berkata usaha bersama mereka berjaya mencapai gencatan senjata dan membolehkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal kembali ke kediaman masing-masing.
“Seperti yang anda semua maklum, pada mesyuarat ASEAN di Malaysia tahun lepas, Perdana Menteri Anwar dan saya telah menjadi perantara dalam memeterai perjanjian damai bersejarah antara Kemboja dan Thailand, yang dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
“Kami kekal komited untuk mengekalkan gencatan senjata itu dan memastikan perjanjian berkenaan dilaksanakan sepenuhnya seperti yang dipersetujui setahun lalu,” kata beliau.
Trump, yang mengadakan lawatan ke Manila sebagai sebahagian daripada siri lawatannya ke Asia termasuk ke Shenzhen, China bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), yakin gencatan senjata itu akan terus berkekalan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/63b200c06f8c246d405728e45196a7f6.jpg)
Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan pemahamannya bahawa hubungan antara kedua-dua negara kini semakin baik.
Menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai pencapaian penting hasil usaha bersama, Trump berkata beliau turut menerima penghargaan daripada Kemboja dan beberapa pemimpin lain.
“Itu satu pencapaian besar, sesuatu yang hebat yang kami jayakan bersama,” kata Trump.
Deklarasi bersama itu ditandatangani di Kuala Lumpur pada 26 Okt 2025 oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, dengan Anwar dan Trump menyaksikan majlis menandatangani dokumen berkenaan.
Deklarasi itu menegaskan semula komitmen kedua-dua negara untuk menyelesaikan pertikaian sempadan secara aman, mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan serta menangani isu berkaitan sempadan menerusi mekanisme dua hala sedia ada.
Deklarasi berkenaan merupakan susulan kepada komitmen terhadap keamanan dan keselamatan yang diumumkan di Putrajaya pada 28 Julai 2025, selepas tercetusnya konflik sempadan antara kedua-dua negara jiran itu.
Sidang kemuncak khas itu menghimpunkan Trump bersama pemimpin dan wakil daripada 11 negara anggota ASEAN, dengan Malaysia diwakili Anwar.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/4fa497b565811f25a52943a2e4cddb9b.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.