BNM tak teragak-agak ambil tindakan terhadap pelanggaran dalam kes Deutsche Bank
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pihaknya mengharapkan semua institusi kewangan mematuhi undang-undang dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran.
Bank pusat itu berkata demikian sebagai maklum balas terhadap siasatan “Inside Deutsche Bank” berdasarkan dokumen dalaman yang dibocorkan.
Dokumen itu menunjukkan Deutsche Bank, institusi kewangan gergasi dari Jerman, mengetahui wujudnya ketidakaturan dalam pengendalian transaksi berkaitan 1MDB meskipun sebelum ini menafikannya secara terbuka.
“BNM mengharapkan semua institusi kewangan sentiasa komited pada tahap tinggi dalam mematuhi undang-undang, peraturan dan keperluan penyeliaan yang berkuat kuasa.
“Sekiranya kelemahan atau pelanggaran dikenal pasti, BNM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya, termasuk tindakan penguatkuasaan.
“BNM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, mengikut kesesuaian,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, bank pusat itu enggan mengulas lanjut mengenai penemuan khusus dalam dokumen yang dibocorkan atas dasar kerahsiaan.
“BNM tidak mendedahkan maklumat berkaitan penilaian penyeliaan atau siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/d15a8acb4e1c6501e12975958a69dd77.jpg)
1MDB menyaman Deutsche Bank berhubung pengendalian transaksi berjumlah AS$1.11 bilion oleh cawangan bank itu di Malaysia bagi pihak dana milik kerajaan berkenaan pada 2009 dan 2011. Dana tersebut akhirnya diselewengkan.
Ketidakaturan dalam laporan kepada BNM
Dalam Laporan Kewangan Anti-Jenayah (Anti-Financial Crime Report) 2015, Deutsche Bank mengenal pasti beberapa ketidakaturan dalam laporan yang dikemukakannya kepada BNM melalui Sistem Maklumat Transaksi Antarabangsa (ITIS).
Deutsche Bank membantah usaha untuk mendedahkan laporan itu di mahkamah dalam pertikaian undang-undangnya dengan 1MDB.
Audit dalaman pada 2015 turut mendapati pasukan pelaporan cawangan bank itu di Malaysia tidak menyemak dengan secukupnya kelengkapan data yang dihantar kepada ITIS.
Pasukan berkenaan juga tidak menyemak pelarasan yang dibuat dalam sistem itu serta gagal menjalankan pemeriksaan kawalan mutu terhadap keseluruhan proses pelaporan.
ITIS ialah sistem pelaporan yang membolehkan BNM memantau aliran kewangan merentas sempadan negara.
Selain itu, hasil audit mendapati tiada dokumen arkib berkaitan pelaporan ITIS yang dapat ditemukan, meskipun bank berkenaan diwajibkan menyimpan rekod tersebut sekurang-kurangnya selama tujuh tahun.
Laporan itu turut mendedahkan kelemahan dalam proses mengenali pelanggan (know-your-customer) dan pencegahan pengubahan wang haram Deutsche Bank Malaysia.
/file/attachments/890/image8_323686.jpeg)
Antara contoh yang dinyatakan ialah ketiadaan maklumat lengkap mengenai pihak yang memulakan beberapa transaksi rentas sempadan yang diproses secara manual, sedangkan maklumat itu diwajibkan di bawah garis panduan sektoral BNM dan peraturan Amerika Syarikat.
Deutsche Bank menafikan sebarang salah laku dan mendakwa pihaknya turut menjadi mangsa selepas diperdaya oleh pegawai 1MDB yang bertindak di luar batas kuasa.
Dokumen yang dibocorkan itu turut menunjukkan Deutsche Bank membantu Low memindahkan wang di Eropah meskipun terdapat beberapa petunjuk yang sepatutnya menimbulkan keraguan.
Dokumen itu juga mengenal pasti beberapa “isu berpotensi”, termasuk dakwaan bahawa Low terlibat dalam urusan pinjaman yang diberikan bank berkenaan kepada 1MDB pada 2014.
Dokumen berkenaan diperoleh secara sah oleh wartawan dan penulis dari India, Josy Joseph serta wartawan penyiasatan dari Afrika Selatan, Khadija Sharife.
Dokumen itu kemudian dikongsi dengan lebih 230 wartawan daripada 50 organisasi media di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.
Siasatan berkenaan diselaraskan dan dikendalikan oleh Barracuda Media, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan dari Afrika Selatan.
Malaysiakini semalam menerbitkan laporan siasatan tiga bahagian mengenai kebocoran dokumen Deutsche Bank itu.
Lapor komen ini
/file/1138/767762b42552ad9b87076fbc6991ae32.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.