Amanah tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi PRU yang semakin hampir, kata presidennya Mohamad Sabu.

Mohamad berkata Amanah mahu menumpukan usaha tersebut ketika parti-parti lain dalam PH belum mengumumkan pendirian masing-masing.

“Untuk PRN Sarawak, kami Amanah tidak bertanding, tTapi kita akan usaha untuk menumpu dalam pilihan raya umum yang telah dekat,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Nasional Amanah di Shah Alam, hari ini.

Mengulas cadangan membentuk kerjasama politik menerusi konsep khemah besar yang turut melibatkan Bersatu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata perkara itu masih pada peringkat awal dan belum ada sebarang keputusan dibuat.

Katanya, pertemuan dan perbincangan antara pemimpin parti setakat ini berlangsung secara tidak formal.

“Ini di peringkat terlalu awal. Kita semua kawan-kawan kita belaka. Jadi kita bertemu sembang di peringkat awal.

“Sebarang keputusan belum lagi dibuat,” katanya.

Mengulas kontroversi kenyataan seorang Ahli Parlimen Melaka yang mempersoalkan penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat, Mohamad berkata, semua pihak perlu lebih berhati-hati apabila menyentuh perkara sensitif berkaitan agama.

Katanya, wakil rakyat terbabit juga telah memohon maaf berhubung kenyataannya.

“Sepatutnya apa-apa yang dianggap sensitif pada mana-mana agama, kita jangan mudah mengeluarkan pandangan kita.

“Tapi beliau sendiri pun telah memohon maaf,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad mempersoalkan perhatian media yang disifatkannya tidak seimbang apabila membandingkan kontroversi itu dengan kenyataan seorang pemimpin PAS yang didakwanya lebih serius tetapi kurang mendapat perhatian.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menerima kritikan daripada rakan dan lawan politik susulan kenyataannya di Facebook yang mengkritik dasar solat Jumaat di Terengganu, yang mewajibkan perniagaan ditutup selama dua jam.

Bagaimanapun, Khoo membuat permohonan maaf secara terbuka susulan hantarannya itu.

Dia mengakui terdapat kelemahan dalam penyampaian pandangan berkenaan, khususnya dari segi pemilihan kata dan nada yang digunakan sehingga menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Mengulas mesej utama konvensyen, Mohamad menegaskan Amanah tidak menolak perpaduan Melayu, sebaliknya mahu ia dibina berasaskan kebaikan, ketakwaan dan prinsip keadilan.

Katanya, perpaduan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mempertahankan salah laku atau menggunakan agama bagi menghalalkan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kita pun nak perpaduan Melayu. Tetapi biarlah kita sokong-menyokong, kita bersatu atas kebaikan dan ketakwaan.

“Bukan bersatu atas dasar keburukan dan bersengketa,” katanya.