LFL: Adakah M'sia akan tetap hantar pulang Rohingya lepas keputusan ICJ
Pertubuhan Lawyers for Liberty (LFL) menggesa kerajaan menjelaskan pendiriannya terhadap pelarian Rohingya di Malaysia, termasuk sama ada negara ini akan meneruskan pengusiran warga Myanmar.
Gesaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) minggu lalu yang mendapati Myanmar bertanggungjawab melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, kurang dua bulan selepas Malaysia menghantar pulang hampir 1,500 warga Myanmar.
Dalam satu kenyataan, penasihat LFL, Latheefa Koya mempersoalkan sama ada kerajaan akan terus menganggap mangsa genosid Myanmar sebagai pendatang tanpa dokumen sah serta menahan mereka mengikut undang-undang imigresen.
"Adakah kerajaan akan terus menutup mata ketika ada kumpulan yang bertindak sendiri memburu mereka di jalanan? Atau adakah kerajaan akan melakukan perkara yang sewajarnya dengan memberikan mereka status undang-undang dan perlindungan yang layak diterima mangsa genosid?
"Malaysia bersikap hipokrit apabila lantang memperjuangkan Palestin tetapi pada masa sama bekerjasama dengan rejim Myanmar yang melakukan genosid dan mengabaikan nasib mangsanya di negara sendiri."
"Kamu tidak boleh mengecam genosid di Gaza tetapi bersalaman dengan pihak yang melakukan genosid di Rakhine," katanya.
Pada 19 Nov, ICJ memutuskan Myanmar melanggar beberapa kewajipannya di bawah perjanjian antarabangsa untuk mencegah dan tidak melakukan genosid.
Panel 15 hakim itu memutuskan dengan majoriti sembilan berbanding enam bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya di negeri Rakhine. Mahkamah turut mendapati negara itu melakukan beberapa pelanggaran khusus lain menerusi keputusan majoriti.
Pada 29 Sept, Malaysia dan Myanmar melaksanakan operasi penghantaran pulang membabitkan hampir 1,476 warga Myanmar yang dibawa pulang menggunakan kapal tentera laut negara itu. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata tiada seorang pun daripada mereka yang dihantar pulang merupakan etnik Rohingya.
Latheefa turut mengkritik Anwar kerana menerima kunjungan pemimpin junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia pada Oktober lalu.
/file/attachments/orphans/PrimeMinistersOfficeofMalaysia435345_704347.png)
Dia berkata tentera Myanmar yang bertanggungjawab melaksanakan operasi genosid itu berada di bawah arahan Min Aung Hlaing, yang kini diburu mahkamah antarabangsa berhubung jenayah kemanusiaan.
"Sukar dibayangkan jika Tun Razak menghamparkan permaidani merah untuk Pol Pot pada 1970-an. Apa yang tidak akan dilakukan Tun Razak ketika itu, kini dilakukan Anwar," katanya.
Latheefa turut mengkritik kerajaan kerana berdiam diri berhubung penganiayaan berterusan terhadap pelarian Rohingya di Malaysia oleh kumpulan yang bertindak sendiri dan mendakwa menjalankan tugas penguatkuasaan.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/82e9f3efefa49e9d5d3aa1b4ed311a6d.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.