Buat laporan jika pekerja lelaki Islam tidak dibenarkan solat Jumaat - Exco
Pekerja lelaki Islam yang tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat oleh majikan di Melaka diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak terlibat.
Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup Datuk Rais Yasin berkata tindakan menghalang golongan berkenaan adalah tidak wajar kerana ia merupakan satu kewajipan bagi semua lelaki Islam yang telah akil baligh untuk menunaikan solat Jumaat.
"Perkara ini seharusnya dalam pengetahuan majikan di Melaka malah di negara ini yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Alhamdulillah, setakat ini kita masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara berkenaan sama ada membabitkan sektor peruncitan, perkilangan mahupun premis perniagaan lain di negeri ini namun sekiranya ada, segeralah membuat laporan agar tindakan wajar dapat diambil," katanya kepada pemberita pada sidang media di Melaka hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan Melaka mempertimbangkan cadangan supaya premis perniagaan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada pekerja Islam menunaikan solat Jumaat seperti di Terengganu.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong menerusi hantaran di Facebook membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan arahan penutupan sementara operasi premis perniagaan selama dua jam dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat di Terengganu.
/file/1192/f84a8ce9fbbc127a455d7552a8102a4c.jpeg)
Rais berkata setakat ini, tiada keperluan untuk kerajaan negeri Melaka melaksanakan cadangan penutupan sementara premis perniagaan bagi memberi laluan kepada pekerja lelaki Islam menunaikan solat Jumaat kerana situasi semasa di negeri itu masih baik dan harmoni
"Namun sekiranya beliau (Khoo) mahukan perkara itu dilakukan, boleh sahaja beliau mencadangkannya dan tindakan itu juga telah membuka ruang perbahasan berkaitan pelaksanaan berkenaan terutama di media sosial," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pemimpin politik diingatkan supaya tidak memainkan isu sensitif terutama 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja dengan menjadikannya polemik politik sekali gus mencetuskan salah faham serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Kerajaan negeri menerima permohonan maaf Khoo berhubung kenyataan yang telah beliau buat berkaitan penutupan sementara premis perniagaan bagi memberi laluan solat Jumaat di Terengganu selain telah mengaitkan Melaka dalam isu itu.
"Setakat ini juga, kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan beliau kerana mahu perkara itu diselesaikan secara harmoni," katanya.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/m11_334324.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.