Tiada kemajuan dalam siasatan pengaruh politik AI, MCMC tunggu maklum balas Anthropic
PARLIMEN l Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak mencatat sebarang kemajuan lanjut dalam menyiasat dakwaan operasi pengaruh politik yang dibantu oleh kecerdasan buatan (AI) yang menyasarkan pengundi Malaysia, kerana masih menunggu maklum balas daripada syarikat AI berpangkalan di Amerika Syarikat, Anthropic.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa ketiadaan maklum balas daripada Anthropic menyebabkan MCMC tidak mempunyai maklumat baharu untuk meneruskan siasatannya.
Ketiadaan kemajuan itu timbul di sebalik laporan terdahulu mengenai usaha terancang untuk meningkatkan sokongan politik secara buatan di Malaysia, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keupayaan pihak berkuasa menyiasat operasi sedemikian dan mengenal pasti dalang di sebaliknya.
Teo menjawab soalan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), yang membangkitkan bahawa jawapan timbalan menteri itu sama seperti jawapan yang diberikan pada 11 Nov sambil menggesa perkembangan terkini siasatan serta tempoh masa yang diperlukan untuk menyelesaikannya.
"Saya hanya mampu bagi jawapan sekiranya ada perkembangan baharu," katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya pada peringkat jawatankuasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027.
Teo turut mengakui bahawa menunggu maklum balas daripada syarikat teknologi Amerika Syarikat itu merupakan satu cabaran bagi badan kawal selia internet berkenaan.
Dia turut mempelawa anggota parlimen yang mempunyai maklumat tambahan supaya menyerahkannya kepada MCMC bagi membantu siasatan lanjut.
Malaysiakini sedang menghubungi Anthropic untuk mendapatkan ulasannya.
Pada September lalu, Anthropic mendakwa sebuah entiti luar negara menggunakan teknologi Claude AI miliknya untuk membangunkan operasi manipulasi pilihan raya komersial yang menyasarkan Malaysia.
Menurut Laporan Perisikan Ancaman Anthropic, operasi itu dilaporkan melibatkan kira-kira 1,000 akaun palsu di platform media sosial X, sebuah portal berita rekaan, serta dokumen yang mengandungi dakwaan palsu terhadap seorang ahli politik pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil.
Laporan itu turut mendedahkan permintaan untuk menjana satu juta tontonan palsu bagi akaun perdana menteri yang sedang berkhidmat. Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak menemui sebarang bukti bahawa operasi itu mendapat sambutan ketara atau menjejaskan keputusan pilihan raya.
Dalam perbahasan hari ini, Wan Saiful membangkitkan dakwaan satu juta tontonan palsu yang ditujukan kepada akaun Anwar, sambil mempersoalkan mengapa kerajaan tidak membuat laporan bagi memudahkan siasatan.
Bagaimanapun, Teo berkata isu tersebut berasingan daripada dakwaan yang dibangkitkan dalam laporan Anthropic, dan menggesanya agar tidak mencampuradukkan kedua-dua perkara berkenaan.
Pertukaran kenyataan terkini itu susulan kenyataan Kementerian Komunikasi minggu lalu bahawa MCMC sedang mendapatkan maklumat lanjut dan penjelasan daripada Anthropic sebelum menentukan tindakan susulan yang sewajarnya.
Kementerian itu turut memaklumkan sebarang tindakan kawal selia atau penguatkuasaan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
Laporan tersebut bukan kali pertama peningkatan sokongan politik secara buatan di Malaysia didokumentasikan.
Tahun lalu, Malaysiakini mendedahkan rangkaian sekurang-kurangnya 263 tentera siber yang meningkatkan sokongan secara buatan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Facebook, serta kaitan antara rangkaian itu dengan seorang pegawai Pemuda PKR.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/87fa787c7cddd293eccbf002b491021e.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.