Menyingkap genap empat tahun pentadbiran kerajaan Madani, Anwar Ibrahim mengetengahkan kejayaan mengukuhkan ekonomi dan berdaya tahan serta penjimatan RM15.5 bilion sepanjang menerajui Putrajaya.

Perdana menteri ke-10 itu berkongsi carta pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025 dengan unjuran Bank Negara antara empat hingga lima peratus pada 2026.

Dalam info grafik dikongsinya di media sosial, ia juga memaparkan pengekalan kadar inflasi yang rendah dan terkawal iaitu 1.8 peratus dan kadar pengangguran terendah sepanjang 10 tahun iaitu 2.9 peratus.

Anwar turut menyoroti mengukuhan mata wang negara sebagai mata wang terbaik di Asia Tenggara dengan nilai 4.75 Amerika Dollar (AS$) bersamaan RM3.95 antara Nov 2022 hingga Mei 2026.

Selain itu Malaysia turut merekodkan rizab tertinggi dalam tempoh 10 tahun sebanyak AS$132.16 bilion.

Anwar dilantik dan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 Nov 2022 sekali gus mengetuai kerajaan perpaduan yang dianggotai parti-parti utama seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dia berkata, tempoh itu bukanlah tempoh yang singkat dengan situasi ekonomi tertekan, kedudukan kewangan negara terbatas, sementara rakyat bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

"Kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang sekian lama berakar turut menuntut keberanian untuk melakukan perubahan.

"Sejak hari pertama melangkah masuk ke Perdana Putra, tekad saya adalah untuk memulihkan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat. Bukan suatu perjalanan yang mudah, tetapi amanah ini mesti terus digalas dengan penuh kesungguhan.

"Alhamdulillah sepanjang empat tahun ini, kita telah bersama-sama membina asas yang lebih kukuh untuk Malaysia. Kedudukan kewangan negara diperkemas, tatakelola diperbaiki, reformasi institusi digerakkan dan kebajikan rakyat terus diperkukuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam aspek penjimatan pula, Anwar memperincikan bagaimana penjimatan itu dihasilkan dan ke mana ia disalurkan.

Dia menyenaraikan lima perkara yang dilaksanakan iaitu elektrik bersasar (RM6 bilion), pengapungan harga ayam (RM1 bilion), subsidi diesel bersasar (RM5 bilion) rasionalisasi RON95 (RM2.5 bilion) dan pemansuhan subsidi telur ayam (RM1 bilion).

Hasil penjimatan itu disalurkan kepada sektor utama bagi tahun 2022 hingga 2026 melibatkan sektor pendidikan, kesihatan, pertanian dan wanita dan keluarga.

Selain itu ia disalurkan kepada bantuan rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Asas Rahmah (Sara), Bantuan Awal Persekolahan, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat).

Malaysiakini hari ini turut merangkum laporan prestasi pentadbiran Anwar sepanjang tempoh empat tahun dari aspek baik dan buruk.

Kadar penerimaan orang ramai terhadapnya berada pada tahap sederhana sekitar 50 peratus tahun ini manakala gabungan PH yang diterajuinya dibelasah teruk dalam empat pilihan raya negeri berturut-turut.

Namun, adakah tempoh perkhidmatannya semuanya buruk? Adakah pentadbirannya menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik? Apa yang sepatutnya boleh dilakukan dengan lebih baik?

Sidang pengarang Malaysiakini mengajukan persoalan ini dan menyusun rangkuman tempoh perkhidmatannya yang dipecahkan kepada tiga komponen - ekonomi, tadbir urus dan reformasi, serta politik.

Bagaimanapun Anwar berkata, perjalanan ini masih jauh dan banyak lagi yang sedang diusahakan dengan menyedari bahawa ukuran sebenar kemajuan negara adalah apabila kehidupan setiap keluarga menjadi lebih baik, rezeki lebih terjamin dan masa depan anak-anak lebih terbela.

"Itulah yang sedang kita perjuangkan. Dengan asas yang telah kita bina, saya yakin kita mampu melangkah lebih jauh, meringankan beban rakyat dan membuka lebih banyak ruang serta peluang yang adil untuk semua.

"Terima kasih atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan saudara-saudari sekalian. Selagi diberi amanah ini, akan saya curahkan segala daya dan upaya demi rakyat dan negara yang saya cintai.

"Perdana menteri boleh datang dan pergi, tetapi nasib rakyat mesti terus dibela, dan martabat negara mesti terus diangkat," tegasnya.