Siapa Tony Pua? Bukan MP, jauh sekali menteri - Takiyuddin
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan mendesak polis menyegerakan siasatan terhadap bekas ahli Parlimen DAP Tony Pua berhubung penyebaran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan tahanan rumah Najib Razak.
Bercakap pada sidang media bersama Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan beberapa ahli Parlimen PN lain hari ini, Takiyuddin berkata tiada alasan untuk melengahkan siasatan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
“Saya rasa tidak ada alasan lagi untuk tidak siasat.
“Bukan susah hendak cari Tony Pua, kecuali dia telah duduk di mana? Timbuktu?” katanya.
/file/attachments/orphans/podcast16_977775.png)
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata beberapa laporan polis telah dibuat berhubung penyebaran minit berkenaan.
“Apabila adanya sesuatu report polis, ia perlu terus disiasat,” tegasnya.
Setiausaha agung PN itu turut mendakwa pihak berkuasa mengamalkan 'pilih kasih' dalam mengendalikan kes melibatkan ahli politik pembangkang dan penyokong kerajaan.
Dia membangkitkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat perkara itu ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pada 24 Nov.
/file/attachments/orphans/anwar145_118322.png)
“Kalau kata perdana menteri pun KDN tidak hendak dengar lagi, tidak tahulah dia hendak dengar siapa,” katanya.
Dalam sesi PMQT itu, Anwar turut menjelaskan dokumen yang dikemukakan dalam proses mahkamah ketika itu hanya keputusan pengampunan, bukannya minit mesyuarat lembaga berkenaan.
Susulan kenyataan Anwar di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata polis diarahkan menggembleng segala sumber yang ada untuk menyiasat dakwaan kebocoran dokumen berkenaan.
Takiyuddin turut mempersoalkan proses penyahklasifikasian minit itu dengan merujuk Seksyen 2C OSA, yang memberikan kuasa kepada menteri dan pegawai awam tertentu untuk menyahklasifikasikan dokumen rahsia rasmi.
Di bawah peruntukan itu, dokumen yang digugurkan status status sulit itu tidak lagi menjadi rahsia rasmi.
/file/attachments/orphans/98349034_663443.png)
Dia berkata Pua, yang pernah mewakili Petaling Jaya Utara dan Damansara, menyatakan minit berkenaan telah dinyahklasifikasikan menerusi hantaran Facebook pada 18 Nov.
“Maknanya, kalaupun dibuat lebih awal, pada tarikh 18 November itu dalam pengetahuan Tony Pua. Itu persoalan yang pertama.
“Siapa Tony Pua? Bukan ahli Parlimen, jauh sekali menteri kabinet, jauh sekali pegawai kerajaan,” katanya.
Takiyuddin persoal afidavit balasan AGC
Dalam pada itu, Takiyuddin turut mempersoalkan penjelasan kerajaan mengenai tujuan minit berkenaan dinyahklasifikasikan.
Pada 22 Nov, Saifuddin menjelaskan langkah itu bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menyediakan afidavit balasan yang lengkap terhadap permohonan semakan kehakiman Badan Peguam Malaysia berhubung tahanan rumah Najib.
Bagaimanapun, Takiyuddin mendakwa semakan melalui sistem e-filing mahkamah, yang dibuat atas permintaan Pejabat Ketua Pembangkang pada 24 Nov, jam 12.57 tengah hari, tidak menemui afidavit balasan AGC.
Dalam kenyataan pada 24 Nov, AGC memaklumkan pihaknya telah membantah permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap perintah tahanan rumah itu.
Menurut AGC, bantahan berkenaan dibangkitkan ketika pendengaran permohonan kebenaran pada 12 Nov.
Pada 18 Nov, Malaysiakini melaporkan minit mesyuarat yang dinyahklasifikasikan itu menunjukkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah meskipun dibantah Peguam Negara Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Menurut laporan itu, Dusuki berpandangan tiada asas undang-undang bagi pelaksanaan tahanan rumah, pendirian yang turut dikongsi Hannah.
Pua turut menyiarkan petikan minit berkenaan di Facebook, mencetuskan kecaman pemimpin Umno yang menuduhnya tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong serta mempolitikkan prerogatif diraja dalam pemberian pengampunan.
Najib mula menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah pada 10 Nov selepas menjelaskan denda RM50 juta pada 6 Nov.
Kediamannya di Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, diwartakan sebagai penjara pada 6 Nov, sebelum dia dipindahkan ke situ.
Tempoh hukumannya dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.
Dah tahu dia bukan menteri atau AP buat apa kau layan…
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/3_403819.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.