Bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuktikan komitmen terhadap reformasi dengan memansuhkan Akta Hasutan.

Kenyataannya dibuat ketika Mubarak Thahak, undang Sungei Ujong yang dipertikaikan akan diheret ke mahkamah untuk berdepan pertuduhan hasutan esok.

Sambil menegaskan bahawa dia tidak bersetuju dengan pendirian Mubarak, Hanipa berkata perkara itu tidak mewajarkan penggunaan Akta Hasutan terhadapnya, atau sesiapa sahaja.

“Seseorang tidak boleh mendakwa dirinya reformis tetapi membiarkan Akta Hasutan kekal utuh. Sekurang-kurangnya, akta itu mesti dikaji semula jika tidak dimansuhkan,” katanya dalam rujukan yang jelas terhadap Anwar.

“Reformasi yang tulen dan sejati, antara lain, menuntut komitmen untuk sama ada mengkaji semula atau memansuhkan Akta Hasutan. Dengan penuh hormat, apa sahaja yang kurang daripada itu tidak menepati label tersebut,” tambahnya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Dalam wawancara pada 2019 bersama penyiar Turki TRT World, Anwar yang ketika itu menunggu kepulangannya ke kerajaan berjanji untuk memansuhkan akta tersebut sekiranya dia menjadi perdana menteri, meskipun dia mengakui cadangan itu akan berdepan tentangan.

Anwar Ibrahim

“Ini komitmen yang saya buat, parti buat dan ia jelas diikrarkan dalam manifesto PH sebelum pilihan raya. (Tetapi) kita ada masalah dengan naratif, ada kebimbangan dalam kalangan orang Melayu sama ada ini akan membuka pintu luas untuk orang sewenang-wenangnya menyalahgunakan kedudukan Melayu atau bahasa (Melayu) atau institusi beraja.

“Saya tidak percaya (naratif) itu benar kerana sudah ada cukup undang-undang terhadap fitnah atau hasutan. Jadi anda tidak perlu bergantung kepada langkah drakonian ini,” tambahnya.

Tujuh tahun sebelumnya pada 2012, Anwar mempersoalkan keikhlasan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, berhubung cadangan menggantikan Akta Hasutan dengan Akta Keharmonian Nasional, dengan berhujah bahawa menukar nama undang-undang itu tidak banyak membantu menangani masalah asasnya.

“Isu asasnya ialah sama ada anda menyokong undang-undang drakonian. Jika anda jawab tidak, maka persoalannya bukan memperkenalkan akta baharu untuk menggantikannya atau membuat pindaan,” katanya.

Anwar juga memberi amaran bahawa undang-undang gantian yang dicadangkan itu boleh dieksploitasi oleh Umno untuk tujuan politik, dengan penguatkuasaan dilaksanakan secara terpilih.

“Sudah tentu ia akan digunakan secara terpilih. Jika melibatkan Umno dan kumpulan upahannya yang menyentuh sensitiviti (kaum atau agama), mereka akan dibiarkan tetapi bagi pihak lain, tindakan akan diambil,” katanya.

Bagaimanapun, memasuki tempoh empat tahun pentadbirannya sebagai perdana menteri, Anwar kelihatan mengambil sikap lebih berhati-hati mengenai Akta Hasutan itu sendiri.

Berucap di Dewan Rakyat dua hari lalu, sejurus selepas meraikan ulang tahun keempat pentadbirannya, dia mengakui secara peribadi tidak bersetuju dengan Akta Hasutan tetapi berkata kerajaan belum menemukan pengganti undang-undang yang sesuai.

Dia berhujah bahawa undang-undang itu masih diperlukan, ketiadaan alternatif, untuk menangani pertikaian, khususnya yang melibatkan hubungan antara pelbagai kaum di negara ini.

Sementara itu, sistem penjadualan mahkamah menunjukkan bahawa Mubarak dijadualkan didakwa di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Tasnim Abu Bakar pada jam 9 pagi esok. Pasukan guamannya turut mengesahkan perkembangan itu kepada Malaysiakini.

Mubarak dilucutkan jawatannya sebagai undang pada 13 Mei 2025, selepas memecat dua pembesar atas dakwaan salah guna dana kerajaan.

Tiga puluh tiga alasan dilaporkan disebut sebagai penyingkirannya, termasuk dakwaan bahawa dia melanggar hukum syarak dan adat. Laporan seterusnya dibuat kepada polis dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Pertikaian sejak itu memuncak menjadi konfrontasi berpanjangan mengenai institusi beraja negeri tersebut.

Sejak April tahun ini, Mubarak dan sekutunya berusaha menggunakan peruntukan perlembagaan negeri untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menggantikan baginda dengan sepupunya, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.