Pua: Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan sudah dinyah klasifikasi, apa lagi nak disiasat?
Bekas ahli parlimen DAP, Tony Pua mempersoalkan keperluan polis menyiasat hantaran media sosialnya berhubung minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan isu tahanan rumah bekas perdana menteri, Najib Razak.
Pua berkata dokumen berkenaan telah dinyah klasifikasi dan menteri juga sudah memberikan penjelasan mengenainya di Parlimen.
“Saya beri kerjasama sepenuhnya dan saya rasa perkara ini tidak perlu disiasat. Dokumen telah dinyahklasifikasikan, menteri pun sudah jawab di Parlimen, dokumen dinyahklasifikasikan, apa lagi nak disiasat?” katanya kepada pemberita selepas selesai dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini dengan ditemani peguamnya, Haijan Omar.
Ketua Polis Negara Khalid Ismail semalam menyatakan bahawa pihak polis telah menerima 55 laporan berhubung hantaran Pua dan telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 203A menjadikan perbuatan mendedahkan maklumat yang diperoleh semasa menjalankan tugas berkanun—serta tindakan berkongsi maklumat yang diketahui telah didedahkan secara menyalahi undang-undang—sebagai satu kesalahan jenayah. Sabitan bagi kesalahan ini membawa hukuman denda maksimum RM1 juta, penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pua berkata, dia memberikan kerjasama penuh sepanjang 45 minit kepada pegawai penyiasat dan menyifatkan tindakan mereka sepanjang proses rakaman percakapan itu sebagai profesional.
Pua dipanggil bagi membantu siasatan berhubung hantaran Facebook pada 18 November lalu yang memaparkan beberapa muka surat daripada minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Menjelaskan keterangannya kepada polis, Pua berkata dia ditanya mengenai kandungan hantaran itu, yang menurutnya merupakan terjemahan bahasa Inggeris daripada kandungan minit mesyuarat berkenaan.
Dia turut mengesahkan bahawa dirinya yang menulis dan menerbitkan hantaran itu di Facebook.
“Saya kata memang tulis saya, memang Facebook saya dan memang saya yang post. Saya tak nafikan tapi kalau ada sebarang kesalahan saya akan jawab dekat mahkamah,” katanya.
Pua berkata polis turut bertanyakan maksud gelaran “King Kleptokrat” yang digunakan dalam hantaran berkenaan.
Katanya, gelaran itu merujuk kepada Najib yang telah dipenjarakan berhubung kesalahan pengubahan wang haram, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.
Dalam pada itu, Pua menggesa pihak yang membangkitkan isu berkenaan, termasuk Umno dan PAS, supaya memahami kedudukan undang-undang berkaitan dokumen terbabit.
“Pihak-pihak yang kecoh di luar sana, sama ada Umno ke, PAS ke, kena tahu undang-undanglah. Sudah dinyahklasifikasikan. Apa lagi yang nak kena siasat? Apa salahnya?” katanya.
Dia turut menegaskan bahawa hantaran itu bukan bertujuan menegur mana-mana pihak yang disebut dalam dokumen berkenaan, sebaliknya hanya merujuk kepada perkara yang terkandung dalam minit mesyuarat tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu berdiri teguh bersama tiga pemimpinnya yang dipanggil pihak berkuasa untuk memberikan keterangan dalam tempoh dua hari lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Loke berkata tiga individu terbabit ialah Yap Yee Vonne, yang merupakan setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh; Pua dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.
Yap dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 26 November berhubung isu lanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.
Pua pula hadir ke Bukit Aman hari ini berhubung hantaran Facebook berkaitan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang menyentuh tahanan rumah Najib.
Sementara itu, Khoo dipanggil memberi keterangan berhubung hantaran Facebook yang mempersoalkan arahan supaya premis perniagaan di Kuala Terengganu ditutup ketika solat Jumaat.
“Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan yakin rakan-rakan kami bertindak mengikut undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, Loke berkata penyertaan DAP dalam kerajaan tidak bermakna parti itu kebal daripada siasatan.
Sebaliknya, dia mengharapkan pihak berkuasa menggunakan standard yang sama dan bertindak dengan tahap kesegeraan yang setara apabila menangani kes membabitkan pemimpin politik atau pihak lain daripada parti berbeza.
Pada 18 November lalu, Pua memuat naik beberapa imej yang didakwa memaparkan petikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September.
Hantaran itu menyentuh keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pelaksanaan tahanan rumah bagi baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.
Pendedahan itu mencetuskan bantahan Umno apabila beberapa pemimpinnya mempersoalkan tindakan Pua menerbitkan dokumen berkenaan serta implikasinya terhadap institusi diraja.
Isu itu turut menimbulkan persoalan mengenai status klasifikasi minit mesyuarat berkenaan dan proses penyahrahsiaannya.
Pada 22 November, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan minit mesyuarat berkenaan telah dinyah rahsia bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara menggunakannya dalam penyediaan afidavit berkaitan prosiding mahkamah.
Pada 24 November, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri menyiasat bagaimana dokumen berkaitan pengampunan Najib boleh tersebar kepada pihak luar.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menolak penjelasan Pua dengan menyatakan status dinyah klasifikasi bukan isu yang dipersoalkan.
"Yang dipersoalkan ialah dari mana kamu mendapat dokumen tersebut sehingga kamu boleh menyiarkannya lebih awal daripada mana-mana agensi kerajaan?
"Apa lebihnya kamu berbanding rakyat awam yang lain sehingga seluruh rakyat Malaysia terpaksa membaca dokumen tersebut daripada Facebook kamu, seolah-olah Facebook kamu ialah saluran rasmi kerajaan?
"Dokumen sudah dinyahklasifikasikan adalah satu perkara. Bagaimana dokumen itu sampai ke tangan kamu adalah satu perkara yang lain. Mudah sahaja. Nyatakan siapa yang memberikan minit mesyuarat itu kepada kamu," katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/podcast15_822753.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.