Diberi kiasan oleh Menteri Besar Pahang, PN negeri itu segera membalas dan menunjukkan bahawa mereka tidak goyah dengan “kekeliruan” dibangkitkan Wan Rosdy Wan Ismail pagi tadi.

Pengerusi PN Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata hala tuju parti sebenarnya ditentukan oleh pemimpin dan ia boleh berbeza daripada apa yang dinyatakan di peringkat bawahan.

Malah Ketua Pembangkang DUN Pahang itu menjelaskan, perbezaan pendirian di antara ahli akar umbi dengan pihak atasan parti adalah perkara biasa.

“Biasalah, semua akar umbi Umno itu biasalah. Kadang-kadang kita tak boleh jadikan kenyataan di bawah ini sebagai polisi parti.

“Polisi parti mesti datang daripada kepimpinan parti.

“Adapun pandangan di bawah, ahli penyokong ini macam-macam jenis.

“Ada yang suka, ada yang tak suka, tapi parti dan kitalah sebagai kepimpinan menentukan hala tuju,” katanya semasa sidang media hari ini.

Ia diadakan selepas sidang DUN Pahang berakhir di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Adun Cheka mengulas “kekeliruan” yang dibangkitkan Wan Rosdy terkait isyarat yang diterima BN Pahang berhubung hajat kedua-dua pihak bekerjasama.

Wan Rosdy Wan Ismail semasa berbahas di DUN Pahang pagi ini.

Wan Rosdy menjelaskan suasana di dalam DUN Pahang menampakkan PAS – yang kini menguasai PN – berminat untuk bekerjasama namun keadaan ditafsir berbeza di luar.

“Di luar dewan macam tak nak berkawan," katanya selepas menyampaikan dua rangkap pantun.

Menurut Tuan Ibrahim, PN menyambut baik usaha ke arah penyatuan ummah dan berharap Pahang dapat dijadikan model penyatuan tersebut.

“Kita pandang positif semua pihak. Kalau ada, bagi saya mudah saja, di mana ada kehendak, di situ ada jalan.

“Kita sebenarnya nak jadikan Pahang ini sebagai model, model penyatuan ummah. Pahang mampu jadi model,” katanya.

Dia turut menyifatkan gangguan-gangguan kecil dalam perjalanan politik sebagai perkara biasa dan tidak perlu diambil hati.

“Jangan cepat terasa hati dengan orang bawah ini. Usik-mengusik baru bahagia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, menjelaskan program PAS Teraju Pahang bukanlah isyarat kepada kegagalan penyatuan, sebaliknya jenama program yang digerakkan parti itu sejak kira-kira empat tahun lalu.

“BN (dan) Umno pun buat program dia. Maknanya selagi kita tidak ada kata sepakat, masing-masing jalanlah program masing-masing,” katanya.

Adun Beserah itu menegaskan, program jelajah itu akan diteruskan selagi tiada persetujuan atau persefahaman dicapai dengan Umno, namun PAS bersedia membuat penyesuaian sekiranya persefahaman lebih awal dimeterai.