PRN Sarawak: GPS kian hampir menang mudah lepas PN pula umum tak bertanding
PN menjadi parti terkini yang mengumumkan keputusan mereka untuk tidak terlibat dalam PRN ke-13 Sarawak, menjadikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berdepan laluan lebih selesa.
Keputusan PN itu diumumkan pengerusinya, Ahmad Samsuri Mokhtar, menerusi satu kenyataan media hari ini. Ia hadir tidak sampai 24 jam sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya memulakan proses penamaan calon esok.
Menurut Ahmad Samsuri, PN menghormati hak rakyat Sarawak untuk menentukan kepimpinan dan hala tuju negeri itu.
"PN akan terus memberi perhatian kepada isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat Sarawak dan membawa suara mereka di peringkat persekutuan.
"Saya berharap proses pilihan raya berjalan lancar dan seluruh rakyat Sarawak dapat menunaikan tanggungjawab memilih dengan aman," katanya.
Pengumuman Ahmad Samsuri itu menyusul selepas pengumuman beberapa parti politik lain yang turut memilih untuk tidak bertanding dalam PRN kali ini. Mendahului PN ialah BN, Amanah, PKR dan Wawasan.
Sebelum ini PAS dan Bersatu sudah mengumumkan keputusan untuk tidak menyertai PRN berkenaan.
Sebelum ini, BN memutuskan untuk tidak meletakkan calon berdasarkan persefahaman antara Umno dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan parti komponen utama GPS.
PAS pula pernah bertanding di 11 kerusi pada PRN Sarawak 2016, namun gagal memenangi mana-mana kerusi.
Pada PRN 2021, parti itu mengurangkan penyertaannya kepada hanya satu kerusi iaitu Beting Maro yang turut gagal dimenangi mereka.
Pada pilihan raya tersebut, PAS menjelaskan keputusan bertanding di satu kerusi sahaja dibuat berdasarkan beberapa faktor, termasuk situasi pandemik Covid-19 dan hubungan baik dengan GPS.
GPS yang diketuai Premier Sarawak Abang Johari Openg pula akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN.
Dalam PRN 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Sementara itu, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (PPDM) sebelum ini memberi amaran bahawa GPS berpotensi memenangi sehingga 44 kerusi tanpa bertanding susulan keputusan beberapa parti politik untuk tidak menyertai PRN.
Menurut PPDM, anggaran awal itu dibuat berdasarkan pengumuman penyertaan parti-parti yang setakat ini mengumumkan calon masing-masing, dengan hanya sekitar 38 daripada 82 kerusi dijangka menyaksikan pertandingan.
Sebelum ini GPS telah mengumumkan calon bagi kesemua 82 kerusi DUN dipertandingkan, diikuti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebanyak 26, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan DAP masing-masing 12, satu bagi Parti Bangsa Malaysia, dan seorang calon bebas.
Gelanggang PRN Sarawak secara rasmi dibuka esok dengan proses penamaan calon berlangsung serentak di 82 pusat penamaan calon.
Proses penyerahan kertas penamaan calon dijadualkan berlangsung selama sejam bermula 9 pagi sebelum pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding.
Tak umum pun org dah tahu PAS mmg tak kuat dan ditolak rakyat Sarawak. Wawasan pula tk ada satu cawangsn pun disana mslah org tak kenal pun.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/12/8dad5fd0d72b5c34a5bb5127679dda22.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.