Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini mendapati dua bekas pekerja pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang bersalah atas pertuduhan mengubah suai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri itu tanpa kebenaran, enam tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Mohd Isa Mohd Yusof, 40, atas 26 pertuduhan, manakala Amer Syafeeq Aziz, 34, dihukum penjara dua tahun atas dua pertuduhan.

Dia turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.

Dalam penghakimannya, Azman berkata pembelaan kedua-dua tertuduh merupakan penafian kosong semata-mata kerana identiti pengguna ID dan kata laluan untuk mengakses laman web berkenaan telah diserahkan kepada mereka dan berada di bawah kawalan mereka.

Selain itu, hakim mendapati tiada bukti menunjukkan akaun berkenaan digunakan oleh pihak lain.

“Dakwaan mereka bahawa ada orang lain yang boleh mengakses pada waktu tersebut memerlukan kata laluan yang disimpan secara automatik dalam komputer, dan boleh digunakan oleh orang lain, tidak lebih daripada andaian mereka semata-mata.

“Orang kena tuduh pertama dan kedua telah masing-masing melakukan pengubahsuaian data seperti yang dituduhkan,” katanya.

Bagaimanapun, Azman membenarkan permohonan Mohd Isa – yang kini bekerja sebagai pembantu am di Jabatan Mineral dan Geosains – serta Amer Syafeeq (penguat kuasa di Majlis Bandaraya Kuantan) untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Mahkamah menetapkan masing-masing diikat jamin RM130,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, peguam Mohamad Hamizey Mat Taib yang mewakili Mohd Isa memohon anak guamnya dikenakan denda minimum bagi semua pertuduhan atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri dan dua anak serta berpendapatan RM2,600 sebulan.

“Kes ini tidak ada sebarang kerugian yang ditanggung oleh pihak institusi kerajaan di Pahang dan atas faktor itu tertuduh memohon satu denda yang paling minimum dikenakan,” katanya.

Zaharman Zainal Abidin yang mewakili Amer Syafeeq turut memohon hukuman sama dikenakan atas alasan anak guamnya menanggung seorang isteri dan tiga anak berusia antara satu hingga enam tahun, dengan pendapatan hanya RM1,700 hingga RM2,000 sebulan.

“Kesan dan akibat sabitan pada hari ini, tertuduh ini berisiko kehilangan kerja yang baru sahaja diperoleh,” katanya.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Fathin Nadhirah Kasim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius.

“Tertuduh-tertuduh ini bukan melakukan kesalahan sekali sahaja, tetapi berulang kali.

“Tertuduh pertama telah memasukkan 26 nama ke sistem dan diubah suai tanpa kuasa, malah lebih teruk tertuduh kedua yang merupakan penjawat awam ketika itu yang bekerja di Unit Protokol Pejabat SUK Pahang,” katanya.

Pada 28 Dis 2022, Mohd Isa dan Amer Syafeeq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengubah suai tanpa kebenaran kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat Pahang antara 19 Feb 2020 hingga 12 Okt 2021.

Mohd Isa didakwa memasukkan nama 26 individu ke dalam laman sesawang terbabit sebagai penerima pingat Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang, sedangkan individu terbabit tidak disenaraikan untuk menerima anugerah berkenaan.

Amer Syafeeq pula didakwa melakukan kesalahan sama dengan memasukkan nama tiga individu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama