Hujan lebat KL, Sentul ke Kampung Baru banjir kilat
Beberapa kawasan di ibu negara termasuk Sentul, Setapak dan Kampung Baru dilanda banjir kilat petang ini susulan hujan lebat dan angin kencang yang berlaku kira-kira 2.30 petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.01 petang berhubung sebuah kereta yang terperangkap dalam banjir kilat berhampiran Hospital Sentul, Jalan Sentul Selatan.
Menurutnya, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul digerakkan ke lokasi kejadian dan mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Cheras dan Sentul merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Lumpur, Mej (PA) Mohamad Aminullah Zulkafly berkata empat anggota telah digerakkan pada 4.34 petang bagi memantau kawasan panas banjir kilat di Kampung Periuk, Kampung Baru.
Beliau berkata hasil pemantauan mendapati kawasan berkenaan masih dinaiki air sebelum pam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diaktifkan pada 4.54 petang bagi membantu menyurutkan air manakala kerja-kerja pemantauan selesai pada 5.06 petang.
Terdahulu, hujan lebat turut menyebabkan beberapa laluan utama di sekitar Sentul dinaiki air sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, selain siren amaran banjir dilaporkan turut dibunyikan di kawasan berkenaan.
Berdasarkan perkongsian orang ramai di aplikasi Threads, antara lokasi yang terjejas termasuklah laluan di sekitar Masjid Al-Hidayah Sentul, Sentul Pasar berhampiran pasar raya OTK serta di hadapan Sekolah Kebangsaan Sentul selain laluan di Jalan Genting Klang menghala ke Setapak Central.
- Bernama
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.