ULASAN | Jangan pandang belakang: Antara hantu silam dan peluang kedua
Bayangkan Pak Mat, yang pada usia 20 tahun mempunyai dua sabitan berkaitan penggunaan dadah. Selepas menjalani hukuman dan rawatan, dia membina kerjaya serta keluarga, dan hidup bebas daripada dadah serta jenayah selama 40 tahun. Pada usia 60 tahun, isterinya meninggal dunia akibat asma. Dalam kesedihan dan tekanan selepas kehilangan isterinya, Pak Mat kembali menggunakan dadah.
Sekiranya Pak Mat ditangkap untuk penggunaan dadahnya, dua sabitan zaman mudanya masih boleh digunakan untuk mengenakan hukuman penjara mandatori lima hingga tujuh tahun di bawah seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. Empat dekad pemulihan tidak memadamkan akibat undang-undang daripada kesilapan lampaunya. Seperti dalam cerita seram, hantu silamnya menunggu untuk muncul semula, dan kali ini ia diberi nyawa oleh undang-undang.
Inilah persoalan yang perlu direnungkan dalam meneliti Rang Undang-Undang Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini (Pindaan) 2026 [D.R. 27/2026], yang dijangka dibentangkan untuk bacaan kedua pada minggu pertama Disember 2026.
Peluang kedua yang boleh ditarik balik
Pengenalan mekanisme rekod sabitan luput (spent convictions) melalui seksyen 13A dan 13B yang dicadangkan oleh kerajaan melalui RUU tersebut wajar dialu-alukan. Ia mengiktiraf bahawa orang yang telah menjalani hukuman dan tidak melakukan kesalahan dalam tempoh tertentu patut diberi peluang membina semula kehidupan tanpa dibebani rekod lampau.
Namun, seksyen 13C RUU tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia adalah reformasi yang bermakna. Rekod yang telah luput boleh dihidupkan semula apabila seseorang kemudiannya disabitkan atas kesalahan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7), seolah-olah rekod itu tidak pernah luput. Tiada had masa. Rekod lampau seseorang yang bebas jenayah selama dua tahun dan seseorang yang bebas selama 40 tahun boleh menerima akibat yang sama.
Apakah makna tempoh bebas jenayah jika pengiktirafan pemulihan boleh ditarik balik bila-bila masa sepanjang hayat? Peluang kedua seharusnya mengiktiraf perubahan seseorang, bukan menjadi tempoh percubaan seumur hidup.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/19a91959a8d049e7c64e96d90aaea320.jpg)
Satu tangkapan, dua sabitan
Seksyen 13A(2)(b) juga tidak memberi jalan keluar kepada individu yang mempunyai lebih daripada satu sabitan, walaupun kesemuanya timbul daripada satu transaksi yang sama.
Seseorang pengguna dadah yang ditangkap lazimnya dituduh dua kesalahan sekali gus: memiliki dadah, contohnya 0.49 gram heroin, di bawah seksyen 12(3), yang boleh dihukum dengan denda atau penjara, dan menggunakan dadah di bawah seksyen 15(1)(a). Jika disabitkan kedua-duanya, rekodnya tidak layak luput menurut sesyen 13A(2) (b) RUU tersebut.
Sebaliknya, seseorang yang disabitkan atas satu kesalahan yang lebih berat iaitu memiliki 4.9 gram heroin di bawah seksyen 39A(1), tetapi tidak dituduh menggunakan dadah, rekod jenayahnya layak luput selepas tempoh bebas Jenayah. Dengan kata lain, kesalahan yang jauh lebih ringan boleh membawa akibat kekal yang lebih berat, semata-mata kerana cara pertuduhan dibuat.
Apabila undang-undang tidak memahami ketagihan
Kelemahan RUU ini lebih ketara dalam konteks kebergantungan dadah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mengiktiraf gangguan penggunaan dadah sebagai gangguan kronik dan berulang (chronic relapsing disorder).
Pemulihan bukan perjalanan lurus tanpa kegagalan, dan seseorang mungkin mengalami relaps sebelum pulih secara berkekalan. Persoalannya bukan berapa kali undang-undang harus menghukum, tetapi sama ada sistem kita mampu memberi akses segera kepada rawatan yang sesuai dan sokongan berterusan untuk memperkukuh pemulihan.
Seksyen 13A(2)(a) pula menafikan kelayakan bagi kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual Keempat, yang merangkumi seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. Seksyen 39C berkaitan penalti lebih berat bagi kesalahan penggunaan dadah berulang. Malah, dua sabitan di bawah seksyen 15(1)(a) sahaja sudah menyebabkan seseorang hilang kelayakan, walaupun selepas beberapa dekad pemulihan.
/file/1166/d0ce3c960388957f596f313799038089.jpeg)
Dengan erti lain, undang-undang masih menghukum mereka yang relaps, walaupun terdapat percubaan rawatan dan pemulihan.
Di sinilah terdapat percanggahan dasar yang ketara. Jika kebergantungan dadah diiktiraf sebagai penyakit kronik yang berisiko berulang, bagaimana sejarah penggunaan berulang boleh dijadikan alasan untuk menafikan peluang kedua secara kekal? Kita tidak boleh menggalakkan rawatan , tetapi pada masa yang sama terus menghukum seseorang sepanjang hayat atas ciri penyakit yang berpotensi berulang.
Mengiktiraf sifat ketagihan tidak bermakna melepaskan seseorang daripada tanggungjawab. Undang-undang hanya perlu mengambil kira realiti saintifik, keadaan individu, tahap pemulihan dan risiko sebenar kepada masyarakat.
Hantu silam yang membawa hukuman penjara, sebatan dan stigma Implikasi RUU ini bukan sekadar stigma, pekerjaan atau pendidikan. Ia melibatkan kebebasan seseorang. Seksyen 39C tidak menetapkan had masa bagi penggunaan sabitan terdahulu, maka sabitan 20, 40 atau 60 tahun lalu masih boleh dijadikan asas hukuman lebih berat.
Bagi mereka yang pernah memperoleh status rekod luput, seksyen 13C menimbulkan persoalan tambahan: bolehkah sabitan yang telah luput digunakan semula untuk memenuhi prasyarat hukuman dipertingkatkan di bawah seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya? Kerajaan perlu menjelaskan interaksi antara akta-akta ini.
/file/1327/3ed63e846dce70fe4e5da529e35942bb.jpeg)
Yang jelas, seseorang yang telah bekerja, membayar cukai dan membesarkan anak selama 40 tahun masih boleh dipenjarakan sekurang-kurangnya lima tahun kerana relaps kali ketiga. Persoalan ini bukan tentang belas kasihan, tetapi tentang kemunasabahan, kesetimpalan dan keadilan.
Mahkamah sendiri mengiktiraf nilai pemulihan Tempoh bebas jenayah bukan konsep asing dalam sistem perundangan Malaysia. Dalam Zaidon Shariff v Public Prosecutor [1996] 4 CLJ 441, Hakim Augustine Paul menjelaskan rasional prinsip sela masa (gap principle):
“The rationale of the gap principle is that the offender has made an effort to rehabilitate himself and it should, accordingly, operate in his favour”.
Mahkamah turut mempertimbangkan perbezaan sifat antara kesalahan terdahulu dengan kesalahan baharu, sebagaimana dibincangkan dalam Public Prosecutor v Jafa bin Daud [1981] 1 MLJ 315 .
Jika mahkamah mengiktiraf tempoh bebas jenayah sebagai bukti usaha pemulihan, mengapa Parlimen mahu memperkenalkan mekanisme yang langsung tidak mengambil kira perkara tersebut? Seksyen 13C tidak membezakan individu yang kembali melakukan kesalahan selepas beberapa bulan dengan individu yang bebas jenayah selama beberapa dekad. Masa berlalu, manusia berubah, dan risiko juga berubah. Undang-undang sewajarnya mampu mengiktiraf perkara tersebut .
Apakah yang perlu dipertimbangkan parlimen?
Sebelum RUU ini diluluskan, beberapa reformasi wajar dipertimbangkan:
1. Keluarkan kesalahan penggunaan dan pemilikan kecil daripada kategori kesalahan boleh daftar. Ini merangkumi seksyen 15(1), 6, 9 dan 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952. Menteri Dalam Negeri berkuasa meminda jadual melalui Perintah Pendaftaran
Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini (Pindaan Jadual Pertama dan Jadual Kedua) 2026 , dan kuasa ini telah digunakan untuk mengeluarkan kesalahan di bawah seksyen 6, 6A, 8 dan 9 Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983) (Akta 283) daripada Jadual Pertama Akta 7.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/85e1386143398dab7927636c881bf2d3.jpg)
Langkah itu wajar disambut baik kerana menganggap penagihan sebagai isu kesihatan awam dan bukan kesalahan jenayah. Namun, individu yang menggunakan dadah masih boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 15 dan seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan masih menanggung rekod jenayah, walaupun keperluan rawatan mereka sama. Perbezaan layanan ini menimbulkan persoalan kesamarataan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
2. Keluarkan seksyen 39C daripada Jadual Keempat, dan kaji semula seksyen 13A(2)(b), sekurang-kurangnya supaya sabitan yang timbul daripada transaksi yang sama dikira sebagai satu untuk rekod jenayah layak untuk luput.
3. Wujudkan mekanisme permohonan khas untuk menilai individu yang tidak layak secara automatik, berdasarkan sifat kesalahan, usaha pemulihan, tempoh bebas jenayah dan risiko semasa.
4. Gantikan seksyen 13C dengan peruntukan yang mengiktiraf kemuktamadan status rekod luput, seperti di Brunei dan Singapura.
5. Kaji semula seksyen 39C untuk menetapkan had masa penggunaan sabitan terdahulu (look-back period) atau memberi mahkamah budi bicara mengetepikan sabitan yang terlalu lama. Mengeluarkan seksyen 15(1) daripada kesalahan boleh daftar sahaja tidak menghalang penggunaan sabitan lampau di bawah seksyen 39C, maka kedua- dua akta perlu dikaji secara menyeluruh.
6. Peruntukkan perlindungan terhadap diskriminasi dalam pekerjaan dan pendidikan, serta penalti bagi pendedahan dan penyalahgunaan rekod luput. Cadangan ini tidak bermakna keselamatan awam dikorbankan. Perlindungan yang sesuai boleh dikekalkan bagi kesalahan serius, pekerjaan sensitif dan keadaan yang benar-benar memerlukan akses kepada rekod terdahulu seperti yang dicadangkan oleh seksyen 13B (3)(c) RUU tersebut.
Jangan pandang belakang
Kita sering menasihati orang yang sedang memulihkan diri supaya jangan terus memandang ke belakang. Seseorang memang perlu bertanggungjawab atas kesalahannya, tetapi tanggungjawab tidak seharusnya bermakna setiap kesilapan lampau boleh digunakan untuk menghukumnya tanpa had masa.
Persoalan di hadapan parlimen bukan sama ada kita perlu melupakan sejarah seseorang, tetapi sama ada sejarah itu patut terus menentukan seluruh masa depannya. Peluang kedua yang boleh ditarik balik selepas 40 tahun bukanlah peluang kedua yang bermakna.
Jika kita mahu seseorang berhenti memandang ke belakang, undang-undang juga perlu belajar melepaskan masa silamnya. Jika tidak, hantu silam akan terus membayangi kehidupan mereka, bukan kerana mereka tidak berusaha untuk berubah, tetapi kerana undang-undang enggan mengiktiraf bahawa perjalanan pemulihan penuh dengan cabaran, dan tersandung sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya.
SAMANGTHA CHONG YIN XIN Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/04/50696b829babda846bcee9c88356fff6.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.