Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menggunakan semula baki geran penyelidikan berjumlah RM225 juta yang terkumpul sejak 2006, susulan teguran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung pengurusan dana berkenaan.

Menurut KPT, baki dana itu terkumpul daripada pelaksanaan ribuan projek penyelidikan sejak 2006, antaranya hasil penjimatan kos pelaksanaan, pelarasan keperluan penyelidikan, penyiapan projek lebih awal serta faktor teknikal dan pentadbiran lain, tanpa menjejaskan objektif asal penyelidikan.

"Baki dana tersebut mewakili 3.65 peratus daripada keseluruhan peruntukan penyelidikan sepanjang dua dekad ini dan disimpan dalam akaun berasingan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta tertakluk kepada kawal selia, tatacara kewangan Kerajaan serta kelulusan KPT," kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas laporan PAC pada Selasa lalu yang mendedahkan lebih RM225 juta baki geran penyelidikan masih belum digunakan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pengurusan dana awam bagi program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

Isu berkenaan sebelum ini turut dibangkitkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

KPT berkata, beberapa langkah telah diambil bagi membolehkan baki dana itu digunakan semula, termasuk mendapatkan kelulusan secara one-off daripada Kementerian Kewangan pada 11 Feb 2026, tertakluk kepada pewujudan mekanisme pengurusan yang jelas.

Pada 4 Mac 2026, Jemaah Menteri menetapkan supaya cadangan penggunaan semula baki dana dikemukakan sebelum meluluskan mekanisme, tatacara pengurusan dan agihannya pada 18 Sept 2026.

"Dari segi skala pelaksanaan, cadangan penggunaan semula baki dana ini melibatkan 20 Universiti Awam (UA) dan 41 Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

"Penggunaan semula dana akan dilaksanakan secara telus, berstruktur dan dengan pemantauan berkala tanpa mengubah tujuan asal peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D)," jelas KPT.

Dalam perkembangan berkaitan, KPT turut mengesahkan tindakan tatatertib telah diambil terhadap individu yang mengetuai penyelidikan susulan kehilangan 19 unit prototaip perubatan i-Breath bernilai RM1.6 juta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) antara Januari 2022 hingga Disember 2023.

Menurut kementerian itu, laporan polis berhubung kehilangan prototaip berkenaan turut dibuat pada 15 Okt 2025.

"UTM telah melaksanakan langkah pembetulan meliputi pengasingan tugas pengesah dan pelulus serta mendapat kelulusan perbelanjaan Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

"KPT akan terus bekerjasama dengan PAC, Jabatan Audit Negara dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap syor penambahbaikan dilaksanakan berdasarkan fakta-fakta yang jelas," katanya.