MP DAP gesa mansuhkan duti setem ke atas pesanan pembelian, sebut harga
Dua ahli parlimen DAP menggesa kerajaan membatalkan tafsiran yang menganggap dokumen sebut harga dan pesanan pembelian (PO) komersial biasa sebagai instrumen yang tertakluk kepada duti setem.
Dalam kenyataannya hari ini, bekas Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, laporan mengenai pengenaan duti setem sebanyak 0.5 peratus daripada nilai transaksi, dengan kadar minimum RM10, akan menjejaskan sokongan komuniti perniagaan terhadap kerajaan.
Lim juga berkata dia akan membangkitkan perkara itu di Parlimen esok.
“Duti setem di bawah Akta Setem 1949 dinilai berdasarkan kandungan undang-undang sesuatu dokumen (instrumen), bukannya tajuk dokumen itu. Ini memberikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kuasa budi bicara untuk menentukan sama ada sebut harga atau pesanan pembelian standard merupakan instrumen yang dikenakan duti setem atau sebaliknya.
“Ini bermakna sebut harga atau pesanan pembelian standard bernilai RM5 juta yang menetapkan tempoh pembayaran kredit selama satu atau dua bulan perlu dikenakan duti setem sebanyak 0.5 peratus atau RM25,000. Ini merupakan beban kewangan tambahan yang tidak perlu kepada perniagaan,” katanya.
Guan Eng berkata, ekonomi Malaysia sedang mengalami pertumbuhan tidak seimbang, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai ekonomi berbentuk ‘K’ atau ‘dua peringkat’.
Katanya, sektor berorientasikan eksport dan berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) serta semikonduktor terus berkembang pesat, sedangkan perniagaan biasa masih bergelut.
Dia berkata, kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan itu dan mengelak daripada mengenakan kos pematuhan serta kawal selia yang tidak perlu ke atas perniagaan dan orang ramai.
Isu itu, yang turut mengundang reaksi Guan Eng dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dipercayai berpunca daripada laporan media minggu lalu mengenai dialog kebangsaan antara LHDN dengan persatuan perdagangan dan dewan perniagaan di Cyberjaya. Duti setem dan e-Invois dilaporkan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu.
Menurut laporan berkenaan, seorang wakil kanan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) memetik taklimat mesyuarat yang menyatakan LHDN memberikan contoh pesanan pembelian atau sebut harga barangan yang menyatakan jumlah perlu dibayar serta tempoh pembayaran, seperti kredit 30 atau 60 hari, yang boleh dikenakan duti setem di bawah Butiran 22(1)(a), Jadual Pertama Akta Setem 1949.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan butiran berkenaan setakat berita ini ditulis.
Dalam kenyataannya, Lip Eng senada dengan kebimbangan Guan Eng dan membangkitkan percanggahan antara usaha kerajaan menggalakkan perniagaan beralih kepada sistem digital, mengurangkan kos serta memudahkan operasi dengan kemungkinan pesanan pembelian dan sebut harga biasa kini dikenakan duti setem.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/1362a04eb7d82a2ac347a9f46d18eae5.jpg)
“Perniagaan mengeluarkan ratusan malah ribuan pesanan pembelian dan sebut harga setiap tahun. Mengenakan duti setem ke atas dokumen rutin ini akan meningkatkan kos operasi, mewujudkan kerja dokumentasi yang tidak perlu dan menjejaskan daya saing perniagaan.
“Kerajaan mengecualikan perniagaan yang layak dengan jualan tahunan di bawah RM3 juta daripada pelaksanaan e-Invois bagi meringankan beban mereka. Mengapa pula memperkenalkan tafsiran cukai yang boleh meningkatkan kos operasi mereka?
“Akta Setem 1949 sudah menyediakan pengecualian bagi perjanjian biasa untuk membeli dan menjual barangan. Garis panduan LHDN sendiri juga menyatakan pesanan pembelian secara umumnya tidak tertakluk kepada duti setem,” katanya.
Lip Eng turut menggesa Kementerian Kewangan (MOF) supaya segera mengecualikan pesanan pembelian dan sebut harga biasa daripada duti setem, termasuk dokumen yang menetapkan tempoh pembayaran biasa selama 30 atau 60 hari.
Dia juga meminta supaya tuntutan duti setem tertunggak dan penalti bagi dokumen terdahulu digantung sehingga isu itu diselesaikan, selain menggesa Akta Setem 1949 dipinda serta garis panduan yang jelas dikeluarkan bagi mengelakkan kekeliruan berterusan.
“Perniagaan sepatutnya menggunakan masa dan wang mereka untuk mengembangkan operasi serta mewujudkan peluang pekerjaan, bukannya bergelut dengan peraturan cukai yang tidak jelas dan kerja dokumentasi yang tidak perlu.
“Kos perniagaan yang lebih tinggi boleh menyebabkan harga barangan meningkat. Akhirnya, rakyat biasa mungkin terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/11/be213840d7714834dfb051e12712d821.jpg)
Minggu lalu, Bersama turut membantah tafsiran yang dilaporkan itu dan menggesa MOF supaya segera mewartakan pengecualian penuh bagi melindungi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“PKS sekali lagi dijadikan sasaran paling mudah. Perniagaan kecil mengeluarkan ratusan, malah ribuan pesanan pembelian dan sebut harga setiap tahun. Ini dokumen perniagaan harian, bukannya perjanjian korporat berskala besar.
“Mengenakan duti setem ke atas setiap dokumen ini akan meningkatkan kos, menjejaskan aliran tunai dan memaksa pemilik perniagaan kecil membuang masa mencari fail lama untuk mendapatkan cop setem. Ini bukan pembaharuan cukai. Sebaliknya, ia membebankan golongan yang paling kurang berkemampuan untuk mempertahankan diri.
“Lebih membimbangkan, kebanyakan pemilik perniagaan langsung tidak mengetahui tafsiran ini, sedangkan Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP) bagi duti setem akan berakhir pada 31 Disember 2026, iaitu hanya beberapa minggu lagi. Jangan jadikan SVDP sebagai perangkap kepada pemilik perniagaan yang tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara ini,” kata jurucakap Bersama, Seah Jhen Pei dalam kenyataannya.
Seah berkata, bagi PKS yang lebih besar dan sudah melaksanakan e-Invois, LHDN sebenarnya sudah menerima maklumat setiap transaksi secara digital.
“Setiap transaksi kini melalui tiga lapisan dokumentasi iaitu sebut harga, pesanan pembelian dan e-Invois, yang masing-masing mempunyai keperluan pematuhan tersendiri.
“Mengenakan duti setem ke atas sebut harga dan pesanan pembelian hanya menambah satu lagi lapisan pematuhan dan kos, tanpa memberikan sebarang ketelusan tambahan,” katanya.
Selain menggesa MOF mewartakan pengecualian penuh, Seah turut meminta supaya penguatkuasaan dan audit ditangguhkan serta-merta sehingga pengecualian itu dimuktamadkan.
Dia juga menggesa supaya tiada tindakan dikenakan secara retrospektif terhadap perniagaan yang tidak menyetem dokumen berkenaan, dengan alasan tiada garis panduan jelas dikeluarkan sebelum ini.
Seah turut meminta kerajaan mengkaji semula Akta Setem supaya selaras dengan pelaksanaan sistem e-Invois, selain menggesa LHDN dan MOF mengeluarkan garis panduan jelas mengenai dokumen yang tertakluk kepada duti setem serta kaedah pengiraan duti berkenaan.
Dia juga meminta supaya tempoh SVDP dilanjutkan melepasi 31 Disember 2026.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/LimGuanEng11_478251.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.