BERITA

Pantun mufti Perlis bidas siapa?

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Sep 2008, 3:53 pagi

Pantun mufti popular, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang meminta pemimpin negara mengundur diri "apabila negara kacau" menimbulkan seribu tanda tanya.

mohd asri zainul abidin interview 231106 point Pantun yang disiarkan di blog beliau ( www.drmaza.com ) dua hari selepas pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh minggu lalu, antaranya, menyebut:

Anak singa di Pulau Teberau

Anak tebuan seekor lari

Jika negara sudah kacau

Eloklah tuan mengundur diri

Dalam pilihanraya yang menjadi tumpuan ramai itu, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Hamat dengan majoriti besar 15,571 undi.

Karya mufti Perlis yang berjudul Pantun 'Cari Ganti' bagaimanapun tidak menamakan dengan jelas pemimpin politik yang dimaksudkan ataupun anggota mana-mana parti politik.

Bagaimanapun ia dipercayai merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tulisan sinis Dr Mohd Asri itu boleh mengundang pelbagai reaksi kerana disiarkan ketika pelbagai pihak mendesak Abdullah mengundur diri - antaranya Anwar dan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - kerana didakwa tidak mampu mentadbir negara.

Pantun empat kerat itu berlatarkan imej pejabat perdana menteri di Putrajaya.

Dipelawa jadi calon

Mohd Asri sebelum ini pernah dikaitkan dengan pembangkang apabila menyertai sebuah forum anjuran Pakatan Rakyat di Kelantan.

pantun mohd asri blog 030908 Malah, beliau juga turut dipelawa untuk bertanding atas tiket BN bagi mencabar Anwar di Permatang Pauh.

Dalam rangkap akhir pantun empat kerat itu, mufti muda itu turut meminta pengunduran itu digantikan dengan pemimpin yang "berbudi tinggi".

Rangkap itu berbunyi:

Pergilah mandi di Titi Tinggi

Jangan tersepak tali pencuci

Carilah ganti berbudi tinggi

Bukan perompak ganti pencuri

Rangkap ini juga tidak menyatakan siapakan pengganti yang dimaksudkannya itu.

Bagaimanapun, dua tokoh yang disebut-sebut ingin menggantikan tempat Abdullah termasuklah timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada pertengahan tahun 2010, selain Anwar yang berusaha merebut tampuk kekuasaan menjelang 16 September ini.

Mufti Perlis sering menjadi perhatian media kerana kerap memberikan reaksi dan komen kritis terhadap fenomena politik dan isu-isu semasa.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Mohd Asri berkata beliau tidak dapat bercakap panjang kerana ada urusan dan meminta belau dihubungi semula.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat dihubungi kembali setakat ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.