Kes rayuan Irene ditangguh lagi...
Aktivis hak pekerja asing, Irene Fernandez perlu menunggu sehingga 25 September depan - untuk kali ketiga - bagi permohonan rayuannya didengar.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pagi ini bahawa ia memerlukan lebih masa untuk mengkatalog dokumen yang hilang sebelum ini, dan dijumpai semula kemudiannya.
Apabila disebut pada 11 Jun, ia ditangguhkan kepada 5 Ogos kerana dokumen berhubung kenyataan saksi-saksi utama pihak pendakwa telah hilang.
Ia ditangguhkan bagi kali kedua kerana terdapat virus dalam komputer yang mengakibatkan volum tertentu nota-nota yang diperlukan untuk perbicaraan, telah hilang.
Pada 2003, Irene yang juga pengarah eksekutif Tenaganita dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah menerbitkan maklumat palsu dengan niat jahat.
Kes tersebut yang didengar di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, merupakan perbicaraan yang paling lama dalam sejarah Malaysia.

