Kerajaan PAS Kedah akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk menggubal garis panduan hiburan di negeri berkenaan, kata exco kebudayaan negeri Dr Hamdan Mohamed Khalib.

“Kita mungkin mengadakan konvensyen atau seminar untuk membincangkan perkara ini,” kata Dr Hamdan.

Beliau berkata, garis panduan itu akan memfokuskan kepada kawalan penonton melibatkan masa persembahan dan pengasingan antara penonton lelaki dan perempuan.

Sebagai contoh, beliau berkata, semua persembahan hendaklah bermula selepas waktu solat Maghrib dan Isyak.

Minggu lalu, Exco kerajaan negeri, Dr Ismail Salleh dilaporkan berkata, kerajaan Kedah mengharamkan sepenuhnya persembahan konsert di tempat terbuka.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata, 100 peratus penyanyi wanita turut dilarang membuat persembahan terbuka di negeri itu atas alasan “suara wanita adalah aurat”.

Dr Hamdan yang bertanggungjawab terhadap belia, sukan, kesenian, warisan dan kebudayaan negeri berkata, garis panduan itu dibuat kerana kerajaan risaukan “faktor selepas konsert” yang boleh mendorong ke arah peningkatan masalah sosial di negeri itu.

Menurutnya, beliau bimbangkan kerana kini terdapat pelbagai jenis aliran muzik dengan pelbagai imej negatif seperti 'black metal' dan 'gothik' di negeri itu.

Perbincangan itu akan dikelolakan oleh Jawatankuasa Kebudayaan dan Kesenian Negeri - unit di bawah kerajaan negeri yang turut dipengerusikannya - yang dianggotai lebih 30 ahli daripada pelbagai bidang, termasuk pentadbir dan penggiat budaya.

Surat Karyawan

Beliau menjangka, sebelum hujung tahun ini, garis panduan itu akan selesai dirangka sebelum dibawa kepada mesyuarat exco kerajaan negeri untuk kelulusan dan penguatkuasaan.

Dr Hamdan berkata, garis panduan itu akan dirangka berdasarkan penelitian semula panduan hiburan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pendekatan hiburan di negeri Kelantan - sebuah lagi negeri sebuah lagi negeri yang ditadbir PAS sejak tahun 1990.

Menurutnya lagi, garis panduan Jakim yang sedia ada perlu diteliti semula kerana terdapat beberapa bahagian yang bersifat terlalu umum dan terbuka terhadap pelbagai tafsiran.

“Contohnya kalau sebut tarian yang lenggoknya menghairahkan adalah dilarang. Bagi setengah orang, mungkin tidak ghairah, sesetengah yang lain, lain pula pendapat," kata beliau.

Mengenai surat yang dihantar oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) kepada Menteri Besar, Azizan Razak, menggesa supaya kerajaan negeri memperhalusi semula keputusan tersebut, Dr Hamdan berkata: “Saya tidak tahu, saya belum lihat surat itu.”

Dalam surat yang dihantar Khamis lalu itu, Karyawan juga memohon untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri mengenai perkara tersebut.