Calon presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng menggesa pucuk pimpinan parti itu supaya memberikan kebebasan untuk akses kepada senarai penuh dan butiran perwakilan pusat bagi memastikan pertandingan yang adil dan telus.

"Saya juga memohon pemilihan diadakan sejurus selepas ucapan presiden parti pada 18 Oktober dan pengiraan dilakukan di atas pentas di depan semua orang dalam Dewan San Choon, dan pengiraan itu dilakukan oleh firma audit bebas," katanya.

Kali terakhir Chua yang juga bekas menteri kesihatan, mencabar jawatan presiden MCA ialah tiga tahun lalu dan tewas kepada presiden sekarang, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Menurut laporan Bernama, Ong, yang juga bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, yang mengambil bertanggungjawab penuh terhadap kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum lalu, tidak akan bertanding mempertahankan jawatannya itu kali ini.

Hari ini, Chua mengumumkan secara rasmi untuk bertanding jawatan tersebut dan lawannya ialah Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat yang juga menteri pengangkutan, yang telah mengumumkan hasratnya bertanding jawatan tersebut sebulan lalu.

"Dengan ini, bukan maksud saya untuk tidak menghormati kawan lama saya (Tee Keat) apabila mahu mencabarnya, tetapi saya lebih melihatnya sebagai pertandingan yang sihat, satu misi untuk membawa semula parti ke zaman kegemilangan seperti masa dulu," kata Chua dalam sidang akhbar i ibunegara yang dihadiri berpuluh penyokongnya.

"Saya telah memikirkan perkara ini sejak sekian lama dan telah mendapat maklum balas daripada akar umbi, dan saya berpendapat satu-satunya jawatan yang saya patut tandingi ialah jawatan presiden bagi membawa perubahan dan transformasi kepada parti," kata Chua.

'Calon perpaduan'

chua jui ming 01 Chua mengekalkan jawatan pengerusi MCA Bahagian Bakri dalam pemilihan bahagian Julai lalu dan beliau melihat kejayaan itu sebagai petunjuk positif untuk kembali aktif dalam politik peringkat kebangsaan selepas beberapa tahun dipinggirkan.

Katanya. dengan pengalaman luas beliau selama 15 tahun dalam kerajaan, beliau yakin dapat memainkan peranan lebih efektif untuk memulihkan parti dan menjadi suara yang lebih dinamik dalam gabungan Barisan Nasional.

"Saya percaya yang saya mempunyai kewibawaan untuk berbuat demikian. MCA perlukan pemimpin senior sebagai wakil dalam kerajaan," katanya.

Ahli politik berusia 64 tahun itu dilihat kali ini menawarkan dirinya sebagai "calon perpaduan" untuk menyatukan ahli parti, yang dikatakan terbahagi kepada dua pasukan - satu dikaitkan dengan Ong dan satu lagi dengan bekas presiden Tun Dr Ling Liong Sik - juga merayu sokongan daripada semua perwakilan untuk berkongsi aspirasinya untuk membawa perubahan dalam MCA.

"Saya akui yang saya tidak dapat menyelamatkan MCA secara sendirian, saya perlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pemimpin lama dan baru untuk membawa prubahan positif dalam parti.

"Saya mahu membawa pembaharuan, membina semula dan mengembalikan MCA sebagai parti yang relevan, bukan sahaja membawa perubahan dan transformasi, bukan sekadar simbolik tetapi benar-benar

efektif supaya kita boleh menjadi relevan dan diterima oleh bukan sahaja masyarakat Cina Malaysia tetapi juga oleh kaum lain," katanya.

Katanya, beliau juga komited untuk menghapuskan rasuah sekiranya beliau menang dalam pemilihan kelak.