Khir Toyo: Biar polis siasat

       

Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat aduan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman berhubung isu azan di Selangor.

khir toyo 181207 “Laporan sudah dibuat, biar polis siasat,” katanya.

Pagi ini, ahli Parlimen PAS bagi kawasan Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, membuat laporan mendesak polis menyiasat dakwaaan Dr Mohd Khir mengenai ada usaha-usaha melarang laungan azan di masjid-masjid di Puchong dan Kota Damansara.

Dr Siti Mariah yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS berkata, Dr Mohd Khir dilaporkan membuat dakwaan tersebut dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Ada Usaha Larang Azan di Masjid-masjid Selangor' pada 9 September lalu.

Ketika diminta mengulas penafian ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang beliau pernah membuat larangan tersebut, Dr Mohd Khir berkata, beliau tidak pernah pun menyebut nama naib pengerusi DAP itu, tetapi hanya menyebut “parti-parti tertentu”.

“Jadi, terpulanglah pada dia (Teresa),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Isnin lalu, Dr Mohd Khir dilaporkan berkata ada usaha pihak yang dipercayai didalangi salah sebuah parti yang membentuk kerajaan negeri itu, membuat petisyen membantah azan di Puchong dan Kota Damansara.

Beliau yang juga ketua pembangkang Selangor menegaskan bahawa petisyen itu benar-benar wujud dan beliau sendiri ada melihatnya.

Isu ini, menurutnya, pernah ditimbulkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Malaysiakini
terkini untuk anda